Friday, December 12, 2008

topi jerami





Tersengguk-sengguk Ali mendengar kuliah subuh pada pagi itu. Mungkin terlalu penat setelah berhempas pulas selama 3 hari dalam menggerakkan program kali ini. Dia benar keletihan. Setiap patah yang disampaikan oleh Si Penyampai Kuliah tak mampu ditangkap ke kotak fikiran. Kini dia telah berada di dunia yang lain. Keadaanya itu mampu melahirkan rasa simpati kepada sesiapa yang melihatnya. Adakalanya ragamnya itu kelihatan lucu. Mana taknya, bilamana dia memakai topi jerami tersebut kelitan kepalanya agar besar. Tambahan pula keadaannya yang tersengguk-sengguk bagaikan seorang yang benar-benar faham dan menjiwai kuliah yang disampaikan. Sangat khusyuk.

Hakikatnya, di kepalanya itu bukanlah topi jerami. Tapi itu adalah 'snow cap' yang dibelinya di Masjid India beberapa bulan yang lalu. Kononnya dia membayangkan dirinya seperti 'Ustaz Rock' yang sentiasa tampil dengan bergaya sebagai seorang pendakwah kontemporari.

Tapi malangnya kawan-kawannya lebih gemar menggelarkan 'snow cap' itu sebagai topi jerami dari memberi gelaran kepadanya seperti Ustaz Rock. Mungkin ciri-ciri topi itu yang berwarna coklat muda kelihatan seperti jerami atau pengaruh daripada 'manga' popular Jepun yang bertajuk 'ONE PEACE'. kisah yang menjadi kegilaan remaja jepun itu mengetengahkan watak utama yang memakai topi jerami dan merupakan seorang yang kelakar serta handal berlawan. Begitu hebat pengaruh komik Jepun sehingga Ali dijadikan bahan gurau kawan-kawannya.

Kini topi jerami tidak lagi ditempatkan dikepalanya. Mungkin dia malu atau tidak tahan dijadikan bahan gurau kawan-kawannya. Baginya, cukuplah dia sarungkan topi itu sepanjang 3 hari program yang dilalui. Cukuplah dalam 3 hari itu dijadikan bahan tawa rakan-rakannya.Ada beberapa perkara yang dipelajarinya selepas peristiwa itu.

Pertama, menutup kepala bukanlah betujuan untuk bergaya, tetapi mengangkat sunnah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Kedua, tujuan menutup kepala adalah untuk mendidik diri agar sentiasa merendah diri. Sebab itulah ketika solat kita disuruh menutup kepala, agar diri ini sentiasa rasa hina dan rendah diri ketika menghadap Si Pencipta. Ketiga, Rasulullah sebagai contoh terbaik, bukan mana-mana artis atau watak-watak yang dicipta oleh makhluk untuk hiburan makhluk.

No comments:

Post a Comment