Wednesday, May 13, 2009

Im SAYANG Mak...

Semalam adalah Hari Ibu. Hakikatnya ramai antara kita yang mengambil kesempatan ini untuk meraikan jasa besar ibu masing-masing. Pada saya ia tidak ubah seperti hari-hari biasa. Tiada yang penting untuk saya lafazkan kepada orang yang pernah melahirkan saya. Tarikh 9 Mei bukanlah satu tarikh keramat di mata saya. Mungkin kerana sejarah didikan sejak dari kecil saya tidak diajar untuk melihat kepentingan tarikh-tarikh ini.

Teringat akan seorang senior yang cukup rapat dengan saya. Dia mengingatkan saya untuk mengambil peluang ini untuk melahirkan rasa penghargaan atas sumbangan besar seorang ibu. Namun saya pandang hal ini sambil lewa. Saya akui, hakikatnya memang tiada sebarang konflik antara saya dan emak (panggilan kepada ibu saya). Malah saya yakin, hubungan saya dengan mak adalah lebih rapat dari hubung an saya dengan abah. Bahkan saya banyak berkongsi masalah dengan beliau. Namun, saya masih kurang pasti mengapa hati begitu berat untuk melafazkan kata-kata ‘Selamat Hari Ibu…’.

Namun Allah Maha adil. Dia telah datangkan saya dengan sebuah mimpi. Mimpi yang cukup memberi kesan kepada saya… Tatkala menuntut ilmu di perantauan, saya berjauhan dengan emak. Hidup di sebuah universiti mendorong saya untuk berdikari. Untuk meneruskan survival kehidupan, saya mula menyibukkan diri dengan kerja-kerja akademik dan persatuan. Seperti biasa, hal ini menyebabkan saya lupa untuk mengambil tahu kondusi emak di kampung. Jarang sekali saya menghubungi beliau dan saya mula leka.

Emak cuba mencari jalan untuk mengisi kesunyian. Beliau mula fokus dengan kerjayanya sebagai seorang guru. Saat itu saya sedar bahawa keadaan kesihatan mak bukanlah dalam kondusi yang baik. Namun bagi saya, masih lagi ada tugas di universiti yang harus diselasaikan. Pada saat itu, Allah mula menguji saya. Saya didatangkan oleh seorang senior sekuliah. Senior tersebut memberi saya satu tawaran untuk mewakili kuliah ke sebuah konvensyen di Sarawak. Saya melihat ini merupakan satu peluang yang cukup hebat.

Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Pada hari ini saya akan bertolak ke Sarawak dengan menaiki kapal terbang. Saya berasa sedikit berdebar-debar memandangkan ini merupakan kali pertama saya menggunakan perkhidmatan kenderaan ini. Setibanya di lapangan terbang,saya menjadi begitu kekok. Saya mula buntu dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Dipendekkan cerita, pada masa yang sama mak juga berada di lapangan terbang tersebut. Ketika itu beliau perlu mengiringi pergerakan pelajar-pelajar yang mengadakan rombongan sambil belajar.

Melihat sosok tubuh emak, saya yakin kesihatan emak semakin terganggu. Namun, siapa dapat menghalang hati seorang ibu. Beliau terus meluru ke arah saya untuk melepaskan rindu sekian lama. Namun saya telah lewat. Saya cuma ada 45 minit sahaja sebelum pesawat berlepas. Tambahan pula saya mengalami masalah untuk ke balai berlepas. Bagasi yang di bawa lebih muatan. Saat itu emak membantu menyelesaikan masalah ini. Setelah itu, saya segera bergerak ke balai berlepas. Masa sangat suntuk. Emak masih mengharapkan saya memberi ruang masa untuk berbual-bual dengannya.

Saya terus meninggalkan emak. Dengan terburu-buru saya berlari-lari anak ke balai berlepas. Pada masa yang sama emak cuba mendapatkan saya. Sejurus saya dimaklumkan melalui pembesar suara bahawa pesawat yang akan saya naiki telah berlepas. Langkah saya terhenti. Sedikit kekecewaan. Peluang yang saya nanti-nantikan selama ini terlepas begitu sahaja. Tatkala diselubungi kekecewaan, saya teringat akan emak. Timbul persoalan di kotak pimikiran saya. Dimanakah emak yang mengejar saya sebentar tadi? Saya menoleh ke belakang. Saya melihat dengan jelas satu jasad yang terdampar di tengah-tengah laluan itu. Saya cukup kenal akan jasad itu. Jasad seorang tua yang inginkan kasih saying seorang anak. Jasad seorang yang cukup rapat dengan diri saya. Itulah emak.

Tersentak dengan situasi itu,saya segera meluru ke arah emak. Saat itu segala permasalahan saya lupakan sebentar. Hanya emak yang ada dalam kotak fikiran ini. Saya segera memeluk emak. Keadaanya lemah longlai. Terasa badannya kurus menahan derita sakit. Dan sehingga kini saya sebagai anaknya tidak tahu apakah penyakit yang dialaminya. Saya memeluk erat mengharapkan emak bertahan. Fikiran saya buntu. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya terus meraung “emak jangan tinggalkan Im…Im sayang emak…maafkan Im…”.

Segala-galanya sudah terlambat. Pada saat akhir itu barulah saya dapat merasakan kebahagiaan memeluk tubuh seorang ibu. Tatkala jalinan darah ini terasa begitu rapat apabila saya menciumnya. Saat itu juga saya mampu menghidu bau tubuh emak. Tubuh seorang yang pernah menyusukan saya satu ketika dahulu. Namun, semuanya telah terlambat. Semua itu adalah yang terakhir kalinya. Walau apapun yang saya lakukan, emak tetap sudah tiada di muka bumi ini. Meneruskan perjalanan menemui Ilahi. Air mata terus berjujuran. Tubuh ini menggigil mengenangkan kebodohan diri.

Itulah perasaan seorang ibu. Sentiasa mencari ruang untuk bersama anak-anaknya. Namun di manakah ruang kita sebagai seorang anak kepada ibu kita? Mungkin tiada? Sehinggakan ruang untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ diendahkan begitu sahaja. Jadi, saya mengharapkan agar semua sedar bahawa ibu kita cukup sayang akan kita. Malah mereka sentiasa ingin bersama kita. Jangan sia-siakan peluang ini selagi mereka masih ada. Tidak susah malah tidak lama untuk kita mengucapkan SAYA SAYANG IBU….