Monday, April 20, 2009

Jom ke PESTA BUKU!!!!!!!!


Bersama kita hidupkan budaya membaca. Pak cik mak cik, abah mak semua dijemput....

Wednesday, April 8, 2009

MUAZZIN PELAT.

Meneliti perjalanan hidup ini, bukanlah semua perkara berada dalam keadaan yang baik. Seringkali saya berada ditempat yang bawah. Bukan mudah untuk menggarap satu kedudukan yang terbaik. penuh dengan ujian dan cabaran. Ketabahan menjadi eset utama sebagai perisai manakala kesungguhan sebagai senjata terbaik dalam perjuangan ini. Tatkala Allah menjadi tempat pergantungan dan Dia sentiasa hadir dan adil dalam memutuskan perancangan. Maka seringkali kita didepankan dengan hasil yang berjaya tak kurang juga hasil yang gagal.

Gagal dan terus gagal. tidakkah Allah menyediakan ruang kejayaan pada kita? Pasti ada. Ibarat menyelusuri sebuah terowong yang gelap dan di penghujungnya ruang keluar yang terang benderang. Maka timbullah persoalan 'dimanakah usaha kita ke arah ruang yang cerah?'. Sememang tiada kegagalan tanpa kejayaan. Sediakan ruang untuk berubah pasti kejayaan menanti. Sebuah kisah yang ingin saya kongsi, tetang satu insan yang melakukan perubahan pada diri sebaik sahaja menyedari kekurangan. Kisah seorang muazzin....


Semasa saya ber
umur sepuluh tahun, saya telah berpindah sekolah agama ke sebuah sekolah agama rakyat yang terletak di sebuah surau di sekitar kawasan perumahan saya. Pembinaan sekolah agama rakyat ini adalah atas usaha jemaah surau. Kedudukannya yang lebih dekat memudahkan saya untuk ke sekolah. Seingat saya, sesi persekolahan bermula pada jam 2 petang dan tamat pada jam 5.30 petang. Dengan kata lain, pelajar-pelajar sekolah ini akan menunaikan solat fardhu Asar bersama-sama jemaah surau.

Jemaah di surau ini bukanlah asing bagi saya. Ini kerana, ayah juga merupakan sebahagian darpada mereka dan saya sering menyertai ayah dalam menunaikan solat Maghrib dan Isyak di sini. Di antara jemaah surau ini ada seorang noda yang bernama Kassim. Dia berasal dari Bangladesh. Kebiasaannya dia akan mengambil tugas sebagai muazzin jika muazzin yang rasmi tiada. Secara mudahnya tugas muazzin adalah bidang terjun bagi dia.

Pada pandangan saya Kassim bukanlah orang yang selayaknya untuk menjadi seorang muazzin. Ini kerana dia mempunyai masalah untuk membunyikan istilah 'Allah'. Sebutannya seakan-akan berbunyi 'al-leh'. Keadaan ini menyebabkan dia sentiasa dijadikan bahan tawa pelajar-pelajar sekolah. Seringkali pelajar-pelajar ini mengajuk sebutan 'Allah'nya. Namun ini bukanlah masalah besar bagi Kassim. Bagi dia azan perlu terus dikumandangkan dengan hati yang ikhlas.

Namun begitu, satu peristiwa yang tak terjangka telah berlaku. Peristiwa ini telah menyebabkan Kassim mencari ruang untuk berubah. Petang itu, sebaik sahaja Kassim selesai mengumandangkan azan, seorang pakcik dengan tergesa-gesa meluru kearahnya. Dengan muka yang merah padam dan nafas yang tercungap-cungap dia terus memarahi Kassim.
"Siapa yang benarkan kamu azan kat surau ni?"
"Kalau sebut nama Allahpun tak betul macam mana kamu boleh panggil orang untuk sembahyang?"
"Jangan lagi azan kat surau ni! Baik kamu balik kampung pergi belajar sebut Allah betul-betul!"
Lantang suara pakcik tersebut. Jelas kedengaran di setiap penjuru surau. Kassim hanya tertunduk. Dia pasrah dengan ujian yang dihadapinya.

Natijahnya, semenjak kejadian tersebut, saya tidak pernah melihat sosok tubuh Kassim. Tertanya-tanya dimanakah dia menghilang. Timbul beberapa persoalan di minda, adakah Kassim lari dari bayang-bayangnya sendiri? atau adakah dia akan muncul semula sebagai satu insan yang benar-benar berubah?

Setahun kemudian Kassim kembali. Dia tampil sebagai seorang yang telah membaiki diri. Seperti biasa, dia akan melaungkan azan Asar pada setiap petang. Kali ini azan yang dilaungka adalah lebih sempurna. Sebutan Allah tidak lagi pelat. Malam azan yang dikumandangkan adalah lebih merdu bunyinya. Saya yakin, dalam tempoh setahun kehilangan Kassim, dia telah mengambil masa itu untuk membaiki diri. Ada buah mulut yang mengatakan dia telah berguru dengan seorang ustaz dari sekolah saya. Itu tidak pasti.

Namun, apa yang penting adalah kegigihan Kassim untuk berubah. Saya cukup kagum atas usaha yang telah dia lakukan. Tidak dapat saya bayangkan dalam tempoh setahun dia berhempas pulas membaiki kelemahan diri. Ketabahan dan kesungguhan yang ada dalam diri telah membawa dia ke arah kejayaan. Kassim telah berjaya menyelusur terowong gelap dan menemukan ruang yang cerah dipenghujung terowong tersebut.

Melalui kisah ini, jelas membuktikan tiada kegagalan yang menerus. Penting untuk kita melakukan anjakan perubahan. Tidak salah untuk mengambil masa dalam membentuk diri. Ini merupakan satu proses yang panjang. Hakikatnya kuasa penetu itu ada pada Allah. Pekerjaan yang ikhlas diniatkan ibadah kepadaNya akan sentiasa dijanjikan kepuasan. Ingat, ruang cemerlang sentiasa menanti di hadapan. Namun sejauh manakah kita memberi ruang ini dalam diri? Hakikatnya sudah tiba masanya untuk kita berubah. Kerana Allah menjanjikan kecelakaan bagi meraka yang menyediakan masa kini yang lebih teruk dari masa yang lepas.