Thursday, February 2, 2012

Budaya Ilmu yang Hambar

Kekuatan sesebuah bangsa terletak kepada kekuatan ilmunya. Ilmu menjadi sumber ataupun asas pembangunan bangsa tersebut. Ini mampu dilihat melalui kemajuan tamadun silam seperti Yunani, China, mahupun Islam. Malah sumbangan keilmuan bangsa-bangsa tersebut masih dilihat sehingga hari ini. Ilmu yang benar menjamin kepada amalan yang baik. Justeru ilmu dilihat sebagai sumber yang mendatangkan implikasi positif dalam kehidupan baik bersifat jasmani mahupun rohani.

Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas mendefinisikan ilmu adalah sumber yang datangnya dari Allah. Dengan kata lain, ilmu adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Makna pula merujuk kepada pengenalan kepada kedudukan sesuatu dalam sistem yang berlaku apabila hubungan sesuatu itu dengan perkara lain dalam sistem difahami dengan jelas. Malah harus difahami bahawa ilmu seharusnya dihidupkan dengan kebenaran. Sesuatu tindakan mahupun kerja yang berasaskan nilai-nilai yang baik boleh disifatkan sebagai ilmu yang benar.

Masyarakat yang maju sememangnya datang dari kelompok yang mengangkat ilmu. Hari ini, keghairahan masyarakat barat dalam mendalami ilmu jelas dilihat dan telah membawa masyarakat tersebut jauh ke hadapan. Situasi ini juga jelas ditonjolkan oleh bangsa Jepun yang bangkit mengangkat tradisi keilmuan selepas tewas semasa Perang Dunia ke Dua. Hari ini bangsa-bangsa tersebut menjadi kuasa besar di dunia malah menguasai bidang perniagaan mahupun penguasaan sains dan teknologi.

Lantas, kita mampu menilai tahap masyarakat kita, masyarakat Malaysia secara umumnya, bangsa Melayu Islam secara khususnya. Nah, pernahkah kita terfikir dimanakah silapnya kemunduran masyarakat kita hari ini? Hakikatnya jawapan bagi persoalan ini amat ringkas. Kemunduran masyarakat Malaysia berpunca daripada kegagalan mereka mencintai ilmu. Malah pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat dilihat cukup hambar samada dari generasi muda mahupun generasi tua.

Beberapa isu mampu diketengahkan sebagai gambaran rendahnya penghargaan ke atas ilmu di kalangan masyarakat Malaysia. Pertama isu penjualan baucer RM200 pemberian percuma kerajaan untuk pembelian buku akademik mahasiswa. Ke dua isu berkenaan pemberian alaun kepada pelajar yang belajar mata pelajaran sains di sekolah. Nah, persoalan yang lebih membingungkan adalah mengapakah kerendahan ilmu ini diperlakukan oleh golongan yang terpelajar?

Mahasiswa merupakan golongan pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang yang tertentu. Mahasiswa seharusnya menjadi lambang ketinggian ilmu di kalangan masyarakat. Tindakan segelintir mahasiswa menjual baucer buku 1 Malaysia (BB1M) mencerminkan kurang matangnya cara berfikir atas kegagalan mengambil ruang meraih ilmu sebaik mungkin. Alasan telah memiliki semua buku akademik dan bakal menamatkan pengajian bukanlah tiket untuk menjual baucer tersebut. Jika mahasiswa mengangkat nilai keilmuan, seharusnya bacer dimanfaatkan dengan menambah koleksi buku untuk pembacaan malah mampu dimanfaatkan semasa alam perkerjaan kelak.

Statistik menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang berminat mengambil jurusan sains semakin menurun. Namun tidakan memberi alaun dalam meraih minat pelajar mengambil bidang tersebut bukanlah satu keputusan yang tepat. Apakah dengan wang ringgit mampu melahirkan kecintaan pelajar kepada ilmu yang dituntut? Atau apakah wang ringgit digunakan sebagai alat untuk memancing golongan pelajar agar berbondong-bondong meningkatkan statistik peratusan pelajar yang mengambil jurusan sains? Hal ini menjelaskan kondusi kematian minat pelajar dalam meneroka ilmu terutamnya dalam bidang sains. Seharusnya minat dan rasa cinta ke atas ilmu itu di tanam sejak kecil agar kesungguhan mereka menuntut ilmu mampu diperlihat.

Adapun budaya ilmu di kalangan masyarakat Malaysia semakin hambar. Ilmu tidak lebih dilihat sebagai alat untuk mencapai kemewahan hidup. Malah, sehingga kini, masyarakat masih terperangkat di dalam sistem keilmuan yang dibina, lalu gagal memahami apa fungsi sebenar ilmu. Justeru minat dan cinta kepada ilmu harus dipupuk kepada segenap generasi. Malah setiap individu harus jelas bahawa ilmu itu bukanlah sesuatu yang hanya diperolehi di pusat pendidikan sahaja dan diguna pakai untuk memperoleh perkerjaan. Persepsi yang salah seperti ini hanya lahir dari mentaliti masyarakat jahil yang mundur dan tertindas.

Monday, January 30, 2012

CINTA YANG HILANG


Kehidupan berlalu dengan pantas. Antara sedar mahupun tidak, usia saya telah menjangkau 24 tahun. Satu perkara yang menarik berkenaan usia di pertengahan 20-an ini adalah persoalan tentang kehidupan. Dengan kata lain persoalan kehidupan ini merujuk kepada pasangan hidup. Ya, ini adalah soalan kegemaran masyarakat sekeliling apabila bertemu saya.

‘Sudah ada pasangan?’

‘Bila hendak kahwin?’

Terkekeh-kekeh saya gelak kecil apabila ditanyakan soalan seperti itu. Tiada jawapan yang tepat untuk saya jawab melainkan ‘tidak ada’ dan ‘kalau ada jodoh’. Pada perkiraan saya ini adalah jawapan paling ringkas dan tepat. Teringat akan kata-kata seorang ibu saudara di majlis walimah abang saya. Ya, perkara yang sama ditujukan, ‘Lepas ini giliran Im pula untuk buat walimah. Bila lagi?’ sekali lagi saya tersenyum lebar tanpa mengeluarkan kata-kata.

Di dalam hati tertanya-tanya, apakah selepas perkahwinan anak yang sulung harus disusuli dengan anak yang ke dua? Kenapa bukan anak ke tiga atau ke empat? Siapa yang akan menjadi pasangan hidup diri ini kelak? Apakah sebenarnya perancangan kehidupan saya? Dan bermacam-macam lagi. Semuanya ligat bermain di fikiran saya.

Bukanlah niat di dalam diri ini tidak mahu memikirkan hal berkenaan membina kehidupan berkeluarga. Tetapi semacam ada satu perasaan takut. Takut jika terlalu memikirkannya akan melekakan perkerjaan harian saya. Seorang sahabat memberi nasihat kepada adik saya. Katanya, ‘Kalau kamu mahu berkahwin, kahwin sahaja. Tidak perlu tunggu abang kamu ini kahwin dulu. Takut-takut kamu tidak kahwin nanti.’ Saya faham, ini merupakan sindiran dari seorang sahabat yang akrab yang cukup faham dengan sikap saya yang acuh tidak acuh berkenaan dengan isu mencari pasangan hidup.

Terus terang saya katakan, persoalan-persoalan seperti ini sememangnya memberi tekanan kepada diri. Soalan tersebut bagaikan desakan kepada saya untuk mendirikan kehidupan berkeluarga dengan segera. Sememangnya sifat berkenan atau berkemahuan untuk memiliki wanita yang baik itu ada. Namun tiada kekuatan dan keyakinan bagi memikirkan lebih lanjut tentang perkara ini.

Semua ini berpunca daripada perasaan risau dalam diri. Lantas soalan-soalan berkaitan pasangan hidup terus berlegar dalam pemikiran. Apakah saya sudah cukup bersedia? Apakah wanita itu baik bagi saya? Apakah wanita itu boleh menerima saya? Dan kadang kala pemikiran infeariti mengusai diri. Saya tidak layak bagi dia. Saya tidak baik bagi dia. Dia seorang yang solehah sedangkan saya tidak. Akhirnya pemikiran-pemikiran seperti ini mematikan hasrat hati untuk memikirkan soal pasangan hidup.

Saat itu ada sesuatu yang memukul diri saya untuk berfikir dengan lebih mendalam. Saya merasakan ada ruang vakum yang harus diisi. Iaitu ruang cinta yang hilang. Sebuah cinta yang telah lama tidak saya temukan…

Sekiranya kita cinta kepada manusia, tak semestinya manusia cinta kepada kita, tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.

Sekiranya kita cinta kepada manusia, kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang yang kita cintai, tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah, kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah, andainya dia ialah jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepada ku, maka campakkanlah dalam hatiku cinta kepadanya adalah kerana-Mu, dan campakkanlah dalam hatinya, cinta kepadaku adalah kerana-Mu. Namun, andainya dia bukanlah jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku, berikanlahku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi ujian, yang kau berikan kepadaku.

Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu, agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku kepada-Mu.

Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada-Mu. Ya Rabbul Izaati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid si jalan-Mu. Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindui syurga-Mu. Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan ini melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu.

Ya Allah, jika engkau halalkan aku merindui kekasih-Mu, janganlah biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada mati hanya sekali, jadikannya pada jalan Allah.

-Aminah Qutb-

Moga kita berhasil menemukan cinta yang hilang…

Tuesday, March 1, 2011

Memahami Tanggungjawab Pemimpin Dalam Gerak Kerja Harakah Islamiyyah



Dalam memikul tugasan dakwah, barisan pimpinan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjayakan agenda besar jemaah. Pemimpin diibaratkan sebagai kepala kepada badan. Merekalah yang akan menentukan tujuan, menghimpunkan maklumat, memberi penerangan juga memastikan perlaksanaan agenda dakwah. Pemimpin juga menjadi aras pernilaian kepada pergerakan sesebuah jemaah. Jika mereka menampilkan kebolehan yang baik, itulah cerminan pergerakan jemaah tersebut secara keseluruhannya. Begitulah juga sebaliknya. Harus diingat, barisan kepimpinan juga menjadi lambang kepada kesatuan dan kerapian saf jemaah. Malah, kesatuan inilah yang menjadi lambang kepada kekuatan.

Bebarapa perkara boleh diketengahkan dalam soal memastikan sesuatu kepimpinan mampu menjalankan amanah sebaik yang muangkin. Pertama, seseorang pemimpin haruslah menanamkan rasa ikhlas dan jujur didalam jiwanya. Setiap tugas dipikul dengan rasa rendah hati dan dilandaskan ke arah meraih redha Allah. Hal ini mampu dicapai dengan merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikan pekerjaan kita disepanjang masa. Dalam konteks ini, penyerahan yang optimum harus ditujukan kepada Allah. Menjadi keharusan bagi pimpinan haraki untuk memhon pertolongan kepada Allah, malah setiap kudrat dan daya usaha yang telah dilakukan hanyalah disandarkan kepada kehendak Allah.

Soal tarbiyyah juga menjadi asas dalam menjana kekuatan pemimpin. para pemimpin seharusnya membina iman yang teguh sebagai asas yang kukuh dalam bekalan mengemudi bahtera dakwah. Mereka perlu benar-benar peka terhadap amanah yang dipikul. Hal ini akan mendorong mereka dalam meningkatkan amal ibadat seperti bangun malam, malah memberi kesedaran akan kepentingan dalam mengusai pelbagai bidang. Tambahan pula, mereka juga seharusnya mengambil berat akan perancangan serta menetukan tujuan yang tepat serta mengagihkan gerak kerja yang bersesuaian bagi menghasilkan sinergi dakwah yang berkesan. Hal ini mampu dicapai dengan menyuburkan pengertian kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah di kalangan para pendokong. Akhirnya matlamat mampu dicapai apabila seseorang pemimpin itu bersungguh-sungguh dalam membangkitkan harapan dan mematikan segala perkara yang menghalang untuk mencapai misi besar perjuangan.

Beberapa nilai dan akhlak telah digariskan bagi pemimpin. Nilai-nilai ini haruslah lahir di dalam jiwa-jiwa pemimpin bagi menimbulkan rasa bertanggungjawab dan lebih serius ke atas apa yang dipimpinnya.

1. Jiwa yang basah terhadap Islam dan hanya mengharapka akhirat. Seorang pemimpin seharusnya menjauhkan diri dari penyakit hati seperti cinta akan dunia.
2. Kemampuan berfikir dengan bijaksana, mempunyai kewarasan akal dan berpengalaman luas. Mereka seharusnya berupaya menganalisa berbagai persoalan serta dapat memahaminya justeru bertindak dengan baik.
3. berakhlak dengan lemah-lembut dan belas kasihan. Hal ini akan memudahkan pemimpin dalam berurusan.
4. Berani dan bermaruah. Menegakkan sesuatu yang hak dengan sepenuh hati dan tidak membuta-tuli dalam bertindak.
5. Bersifat benar iaitu teguh bersama kebenaran tanpa berganjak. Ini mampu meningkatkan kepercayaan anggota.
6. Tawaduk dan tidak meninggi diri. Sentiasa bersifat wara dan zuhud dan mengawasi perkara yang diharamkan Allah.
7. Bersifat pemaaf dan dapat menahan kemarahan (sabar).
8. Menunaikan janji
9. Suci diri dan mulia.
10. Adil dan saksama walaupun kepada diri sendiri. Seorang pemimpin seharusnya seimbang dalam semua urusan.
11. sewajarnya seorang pemimpin menjauhkan diri dari MENGUNGKIT dan bercerita tentang diri sendiri.
12. Sentiasa lapang dada serta tidak mendengar cacian mahupun umpatan.
13. Mempunyai keazaman yang tinggi, tawakal juga tidak teragak-agak.
14. Menjauhkan diri dari sikap tidak yakin atau terlampau yakin.

Menghormati pemimpin dari pihak pengikut adalah satu perkara yang digesa oleh Islam bukan semata-mata kerana peribadi pemimpin teresbut, malah ia atas perkiraan bahawa pemimpinlah lambang kepada jemaah yang membawa bendera Islam untuk menyampai seruan kepada umat manusia. Apa-apa kecacatan kepada kedudukan pemimpin akan menyentuh perpaduan jemaah dan kekuatannya.

”Bagi pemimpin dalam dakwah, mereka mempunai hak seperti bapa dalam ikatan hati, guru dalam faedah keilmuan, sebagai Syeikh dalam pendidikan kerohania, sebagai ketua dalam memutuskan siasah umum bagi dakwah. Malahan dakwah kita menghimpunkan seluruh pengertian ini.” -Hassan Al-Bana-

Thursday, February 24, 2011

Sesawang yang Bersawang


Telah lama sesawang ini tidak kemaskan dengan sebarang penulisan. Hambar, malah boleh diibaratkan usang. Tiada lagi idea-idea bernas yang menghidupkan sesawang ini. Tiada lagi cerita-cerita menarik yang dikongsi di sini. Sememangnya sesawang ini semakin bersawang. Mengapa? Barangkali kehadiran laman sosial Facebook telah mengambil tempat populariti sesawang ini.. barangkali juga sikap penulis yang tidak konsisten memuat turun sebarang bentuk penulisan merencatkan pekembangan fungsi sesawang ini. Apakah nasib sesawang ini. Kelihatanya semakin usang.

Seharusnya masih ada tempat bagi sesawang ini. Budaya menulis harus dihidupkan. Kerana dari situ terkandungnya cara berfikir si penulis. Malah, melalui penulisan juga mampu menghadirkan pembacaan. Apakah nilaian seperti ini yang diketengahkan oleh sesawang ini tidak lagi releven untuk memenuhi kehendak pengguna hari ini? Maka buangkanlah sebarang sawang yang wujud di sesawang ini. Hidupkan budaya membaca, menulis dan berfikir di sini.

Wednesday, June 30, 2010

DI MANAKAH KEDUDUKAN TAUBAT KITA?


Tatkala diri ini duduk keseorangan,mengambil ruang bermuhasabah. Rasa malu hadir atas dosa yang kerap dilakukan. kadang-kadang tertanya-tanya taubat jenis apakah yang telah ku lakukan sedangkan masih diulang dosa yang sama. Apakah masih ada ruang bermain-main dalam ibadah taubat ini? betapa hinanya diri ini tatkala melakukan maksiat namun mengharapkan simpati Allah tanpa rasa kesungguhan dalam bertaubat.

Berkata Yahya bin Muaaz:

"Sebesar-besar penipuan diri ialah bersemadi di dalam pelukan dosa sambil mengharapkan keampunan Allah SWT tanpa menyesali diri dan bertaubat. cuba pula mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa mengerjakan amal taat. menunggu tuaian dan hasil dari syurga, padahal benih yang ditanam adalah benih tanaman api neraka, tempat tinggal orang yang taatmengerjakan maksiat, menunggu balasan baik tanpa berusaha keranaNya. dan akhir sekali berangan-angan kosong terhadap Allah dengan melapaui batas."


Adakah diri ini tergolong dalam golongan tersebut? Di saat kita menyangka diri ini hampir dengan Allah, hakikat apa yang dilakukan adalah kosong tanpa isi. Apa yang lebih dahsyat, apabila diri ini tergelincir dalam golongan bodoh malah sombong. Lantas, ambillah ruang dalam menilai sejauh manakita dalam meletakkan pengharapan kepada Allah SWT. renung-renungkanlah...

Tuesday, May 18, 2010

Perindu Subuh


Tiap kali azan subuh berkumandang, rasa sayu terbit di hati. Maka terdetik satu soalan yang sukar dijawab, mengapakah cukup sukar untuk kita dengari seruan ini? Apakah erti seruan ini? Inilah tanda permulaan hari yang baik bagi hamba-hamba yang bergelar Muslim.

Teringat saya akan satu kejadian di satu subuh. Seperti biasa saya disibukkan dengan kerja-kerja di studio sehingga tidak sempat tidur di malam hari. Sehinggalah azan subuh berkumandang, mengingatkan kami akan masa untuk bertemu Ilahi. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk berjemaah di masjid yang terletak kira-kira 300 meter dari kuliyyah.

Selesai menunaikan ibadat solat, saya bergegas kembali ke studio. Sebaik melangkah keluar dari masjid, saya terserampak seorang lelaki dewasa bersama beberapa orang anak kecil. Umurnya sekitar tiga puluhan. Maka dia menyapa saya untuk bertanya sesuatu, “Salam dik, solat Subuh berjemaah di masjid dah selesai ke?”. “Baru je cik.”jawab saya ringkas. Maka dibalasnya, “rugilah kita pagi ni tak sempat berjemaah bersama-sama di masjid,”. Lalu dia bergegas ke masjid bersama anak-anaknya.

Saya termenung seketika memikirkan kata-kata lelaki tadi. Jauh dalam sudut hati ini rasa cukup kagum dengan sikap lelaki tersebut. Beliau berusaha sebaik mungkin untuk mengerjakan subuh di masjid. Malah apa yang menarik, diajak anak-anaknya bersama ke masjid walaupun anak-anaknya masih kecil. Mungkin ini satu kaedah untuk membudayakan amalan ke masjid terutamanya dalam menunaikan solat subuh.

Saya cukup yakin, permulaan hari yang baik mampu dinilai melalui subuh kita. Urusan-urusan seharaian akan dipermudahkan jika kita memulakan hari dengan solat subuh diawal waktu secara berjemaah. Tambahan pula, jika aktiviti selepas subuh diisi sebaik mungkin, ia akan membuka pintu rezeki bagi hamba-hamba yang soleh.

Melihat konteks masyarakat Islam hari ini, cukup sedih apabila rata-ratanya bagai dijajah pemikiran oleh kuasa barat. Apakah tiada jalan untuk menyelesaikan permasalahan ini? Nah, subuhlah jawapannya. Subuhlah yang menentukan kecemerlangan umat Islam. Malah, puak Yahudi pernah berkata, kami akan gentar kepada orang Islam sekiranya jumlah mereka yang menunaikan solat Subuh sama seperti jumlah yang menunaikan solat Jumaat. Apakah hal ini agak mustahil untuk berlaku?

Tatkala ada yang mengatakan dirinya memang cukup sukar untuk bangun awal di Subuh hari. Maka, persoalan yang timbul sejauh manakah kita ingin mendapatkan Subuh? Sejauh manakah kita rindu akan subuh? Jika kita benar-benar rindu akan subuh pasti ada kesungguhan untuk memperolehinya. Jadikanlah solat subuh berjemaah di awal waktu sebagai amalan selama 40 hari, pasti untuk hari-hari yang seterunya ia akan menjadi kebiasaan diri.

Untuk itu, hadirkanlah rasa rindu dalam diri ini untuk bertemu subuh. Saya pasti, subuh yang baik adalah jaminan untuk permulaan hari yang baik. Dari situlah turunnya rezeki sebagai tanda rahmat dari Ilahi. Malah Subuh juga adalah sumber kekuatan umat Islam dalam berhadapan mehnah dan tribulasi ummat pada hari ini. Maka, tetapkanlah azam untuk bertemu Subuh. Kerana itulah harapan bagi seseorang yang bergelar Perindu Subuh.

Saturday, April 24, 2010

Buang Rasa Takut

“Encourage your children to explore their talents. Help them to grow....their confidence will be boundless and they will be forever grateful. Developing a skill and the memories it creates for all will last a lifetime....much longer than tangible ‘stuff’ “.


Sebuah pengalaman yang saya kira harus dikongsi, iaitu pengalaman pertama kali naik ke pentas sewaktu usia 7 tahun. Semasa menuntut di sebuah sekolah agama yang terletak di Selayang, saya merupakan seorang pelajar baik dan pendiam. Keadaan ini membuatkan ustazah (guru kelas) merasa senang. Beliau telah melantik saya sebagai penolong ketua darjah. Malah saya seringkali diberi markah yang tinggi dalam peperisaan.


Oleh kerana Hari Kecemerlangan hampir tiba, setiap kelas diminta untuk menghantar seorang wakil untuk menyertai Pertandingan Bacaan doa Iftitah. Pertandingan ini diadakan khas untur pelajar tahun satu. Dalam situasi ini, tidak lain tidak bukan saya menjadi pilihan ustazah untuk mewakili kelas. Saya telah dipanggil ke bilik guru untuk sesi tasmi’ ringkas. Hakikatnya, pada saat itu saya masih belum menghafal doa ini, dan bacaan saya agak tergagap-gagap. Namun ustazah cukup yakin ke atas saya. Saya diberi masa seminggu untuk membuat persiapan sebelum Hari Kecemerlangan berlangsung.


Sebaik sahaja pulang ke rumah, saya memaklumkan hal ini kepada emak. Pada emak ini adalah peluang yang cukup baik. Namun saya tidak yakin pada diri malah takut untuk naik ke pentas. Emak terus memberi dorongan dan semangat. Tambahan pula abang yang setahun lebih tua dari saya membantu dalam usaha melancarkan hafalan. Saya masih ingat saat terakhir persiapan saya. Saya telah membacakan doa itu di hadapan emak dan abah. Ketika itu bacaan sudah elok. Dorongan dan nasihat dari ahli keluarga membuatkan saya yakin dan bersemangat.


Hari yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Hati saya mula gusar. Saya bernasib baik kerana mendapat giliran yang terakhir. Perkara ini sedikit sebanyak member ruang kepada saya untuk menenangkan diri. Abang berpesan supaya saya buat yang terbaik dan pastikan memperolehi kemenangan. Seorang demi seorang peserta selesai mempersembahkan bacaan mereka dengan jayanya. Persembahan mereka yang sempurna menyebabkan saya merasa rendah diri. Akhirnya giliran saya tiba.


Saya naik ke pentas dengan langkahan yang menggeletar. Jantung benar-benar bedegup kencang. Pada saat itu jelas kelihatan audian yang cukup ramai. Semuanya terdiri daripada ibu bapa dan guru yang hadir. Keadaan ini benar-bear menyebabkan saya mati akal. Saya mula terpinga-pinga dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Seharusnya saya sudah bermula mempersembahkan bacaan. Namun satu ayat pun tidak terkeluar dari mulut. Saya tergamam. Mulut terkunci mendiamkan diri. Keadaan sunyi seketika.

Pengerusi majlis (juga merupakan seorang ustazah di sekolah itu) dapat membaca keadaan saya yang panik. Beliau cuba membantu dengan mebisikkan pangkal ayat bagi doa iftitah. Sedikit demi sedikit saya sambung dengan bacaan yang gagap. Perkara ini berterusan sehinggalah saya selesai menghabiskan bacaan. Pada saya situasi di dewan ketika itu cukup menekan. Saya benar-benar tidak yakin dan hilang motivasi. Tatkala melihat wajah-wajah audian yang memberikan senyuman, saya merasakan senyuman itu ibarat gelak tawa yang memperlekehkan saya.


Tamat bacaan, saya bergegas keluar dewan. Langkahan menjadi lemah longlai. Saya tidak mampu mengawal diri. Saat itu air mata berjurai kelur. Saya teresak-esak menangis kesedihan. Saya tahu, saya gagal melakukan persembahan yang terbaik. Saya sedar dengan kesilapan yang dilakukan. Ketika itu abang memarahi saya. Katanya perkara yang sebegitu mudah tidak mampu saya lakukan. Saya yakin persembahan saya adalah yang paling teruk pada hari itu. Mana mungkin untuk saya memperolehi kemenagan. Saya terus menangis di tepi dewan.



Setelah saya meningkat dewasa, saya seringkali ketawa kecil apabila mengimbau peristiwa ini. Ya, pada saat itu saya cukup yakin bahawa saya adalah dari kalangan yang tewas. Tetapi kini saya sedar, hakikatnya tiada istilah tewas dalam diri. Kerana apa yang saya lakukan adalah usaha mengejar kemenangan, bukan duduk bergoyang kaki tanpa berusaha. Mungkin saya kalah tapi tidak mungkin saya gagal. Harus ditanam dalam diri sejak kecil, tidak perlu takut kepada kekalahan. Juga tidak perlu takut untuk membina bakat, kemahiran dan keyakinan.