Wednesday, December 24, 2008

Mereka Yang Bergelar HEWI.



Pertamakali pertemuan dengan mereka merupakan satu pengalaman yang menarik. Mana mungkin ia dilupakan. Ya, mereka terdiri daripada siswi-siswi. setiap perkara seringkali mereka lakukan secara jamaie. Jelas, dari pegangan dan pendirian mereka, mereka adalah dari golongan yang faham akan agama. Sememangnya mereka bertungkus-lumus memastikan dakwah tersebar dikalangan wanita. Teringat akan seorang sahabat yang melebelkan mereka sebagai sayap kiri lelaki. Alasannya kekuatan lelaki juga bergantung kepada mereka terutamanya dalam meringankan tugas dakwah. Namun, mereka tak bersetuju. Mengapa sayap kiri? bunyinya seperti satu haluan yang bertentangan. Ada betulnya kata mereka dan mungkin istilah 'sayap kanan' adalah lebih sesuai. Hakikatnya, tak perlulah timbul persoalan sayap belah mana, kerana sememangnya mereka telah dikenali dengan gelaran HEWI. Satu gelaran yang cukup gah. Se'gah' si penggeraknya.

Sepertimana Saidatina Khatijah yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam usaha dakwah Nabi Muhammad satu ketika dahulu, begitulah peranan mereka. Saidatina Khatijah yang begitu setia tak pernah jemu memberi dorongan dan semangat kepada Nabi. Sememangnya Saidatina Khatijah benar-benar berjasa kepada Nabi juga secara tak langsung telah memainkan peranan utama dalam penyebaran Islam. Lantas pemergian Saidatina Khatijah dirasakan satu kehilangan yang besar pada diri Nabi sendiri. Begitu besar peranan Saidatina Khatijah dan kini telah dihidupkan semula oleh HEWI.

Kadang-kala kepelbagaian anggota telah menghidupkan lagi warna-warni jemaah dalam gerakan dakwah. Sentiasa lengkap-melengkapi. Tersenyum tatkala melihat mereka yang pelbagai ragam. Ada yang sentiasa melontarkan kata-kata puitis yang manis, ada yang pemalu, ada yang cukup menjaga ikhtilad dan tak kurang juga mereka yang beremosi. Namun, kesatuan hati mereka menyedarkan mereka bahawa tiada yang sempurna. Mereka mula berkongsi dan mereka cukup memahami antara satu sama lain. Kelemahan mula ditutupi. Satu insan yang lemah mula tampil sebagai satu organisasi yang gah. Itulah kuasa jamaie yang mereka yakini. Tautan hati yang sudah diikat mana mungkin dileraikan. Inilah kuasa yang berjaya mereka hasilkan sehingga suara mereka didengari.


Tabah dan sabar. Sesungguhnya usaha dakwah yang dijalankan bukanlah satu perjalanan yang mudah. Seringkali menerima tentangan, kritikan dan kadang-kala tomahan. Namun hati mereka tak goyah. Mereka tetap sabar berhadapan dugaan. Barangkali ketabahan hati mereka menyekat air mata dari terus mengalir. Mereka cukup yakin dengan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah. Tatkala mereka berhadapan dengan jalan buntu, mereka tak terus mengalah. Malah mencari jalan penyelesaian dan bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Tiada rungutan malah yakin dengan hikmah. Sungguh, mereka berjaya menangkis kekecewaan dengan hati yang tenang. Keyakinan mereka cukup hebat.


Sewaktu gerak-kerja dijalankan, mereka selalu mengingatkan akan perkara yang bukan tokok. Ini cukup memningkan lelaki yang hanya menumpukan kepada yang utama. Namun, inilah lebihnya mereka. Siapa sangka kekurangan perkara yang remeh akan mendatangkan masalah besar kepada perkara yang lebih utama? Itulah ketelitian. Satu kelebihan yang dikurniakan kepada mereka. Lantas setiap kerja dapat disempurnakan dengan kemas. Ketaatan yang mereka berikan kepada ketua cukup hebat. Arahan dilaksanakan sebaik mungkin. Dan setiap kekurangan terus dibawa berbincang. Inilah tanzim yang mereka santuni. Sikap rendah diri dan keterbukaan mereka tempatkan di hadapan. Apabila ditegur jelas menunjukkan mereka sentiasa bersedia untuk memperbaiki diri.


Seharusnya keistimewaan mereka ini dijaga dan dilindungi sebaik mungkin. Kerana dalam diam-diam mereka menjadi tunggak kepada kejayaan dakwah ini. Merekalah yang akan melahirkan pendakwah-pendakwah yang bakal menggegarkan dunia perjuangan ini. Itulah nilai yang sering kita lupakan. Sememangnya petemuan dengan mereka cukup berharga. Moga-moga pertemuan ini akan mencorak satu perjalanan dakwah yang baru, sememangnya istimewa dan seterusnya menjanjikan kejayaan Islam.

Tuesday, December 16, 2008

Beberapa Hari Lagi...


Pejam-celik, pejam-celik, rupe-rupenye cuti sem tinggal dua tiga ari je. Minggu lepas result exam dah dikeluarkan. Macam-macam la reaksi yang kita dapat lihat. Kepada mereka yang gempak senyum melebar dan barangkali tak sabar menanti bukanya sem kedua. Tapi pada yang terkantoi berat rasenye untuk balik ke u. Ape-ape hal pun perkara yang sudah lepas pasti tak boleh dikembalikankan. Redha dan syukur dengan apa yang diperolehi serta jadikan pengajaran.

Cube kita check balik diri kita sendiri. Adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk beraksi dalam sem 2 ni. Persiapkanlah diri tu. Nak atau tak kita tetap akan berhadapan dengan buku-buku yang menimbun, wajah-wajah lecturer yang disayangi dan sesi-sesi kuliah yang memenatkan. Mungkin beberapa langkah dapat diamalkan dalam memastikan prestasi kita pada sem ni adalah lebih baik dari sebelumnya...

  1. Dapatkan nota lebih awal. Tak kisahlah apapun caranya, melalui senior, kedai photostat ataupun library.
  2. Dah ade nota jangan lak wat pekasam. Bace lebih awal kalau boleh sebelum lecture. Barulah ade clear view time lecture.
  3. Kalau ade masalah dalam pembacaan,rajin-rajin la merujuk. contohnya tak paham sesetengah perkataan, terus check kamus untuk maknanya. Jangan jadi bodoh sombong sebab kekadang perkataan tu merupakan key word yang penting. Kalau perlu untuk merujuk dengan senior ataupun member-member yang scor, jangan bertangguh walaupun diorang skema.
  4. Dalam seminggu tu, spendkan satu hari untuk turun library. buat research kat situ. Jangan ingat nota dari lecturer atau internet tu da cukup.
  5. Pastikan korang repect dengan lecturer. Tak kisahlah lecturer tu tu 'kerek' camnepun die tetap orang yang bagi ilmu kat kita.
  6. Masa tu emas, so jangan la suke bertangguh. Jangan jadikan attitude esok exam malam ni baru nak start study sebagai budaya.
  7. Banyakkan bertanya dengan lecturer terutamanya bila diberikan assignment. Kekadang kita pun kurang pasti dengan requirement yang dikehendaki.
  8. Banyakkan berdoa. Tak kisahlah doa sebelum belajar ataupun lain-lain doa. Ingat, jangan sombong dengan Pencipta. Semua ketetapan ada ditanganNya.

So, pasni bolehlah korang cuba praktikkan guideline ni. Cuma diingatkan, untuk berjaya tak cukup jika kita hanya ikut guideline ni sahaja. Ini cume sebahagian daripada usaha. Yang penting usaha korang mestilah disusuli dengan doa dan akhirnya tawakal. dari situ barulah lahirnya redha. dan redhalah yang akan beri kepuasan diri dalam menuntut ilmu. Semoga kita perform dan buatlah yang terbaik untuk sem 2 ni.

Bila Qalbi Inginkan Cinta.

Qalbinya bergetar. Bagai ada sesuatu yang mendesak. Jiwanya benar-benar tak tenteram. Apakah yang membuatkannya benar-benar berada dalam keadaan luar biasa itu. Jiwanya terus memberontak. Semakin dia lawan semakin hebat getaran itu. Keadaan ini memberi tamparan hebat dalam dirinya. Perasaan luar biasa itu jelas dirasa olehnya sebaik sahaja dia menerima sebuah mesej. entah mengapa dia rasakan mesej tersebut begitu istimewa. Perasaannya bercampur-baur, gembira, bahagia, gementar semuanya menjadi satu. Apakah yang membuatkan mesej itu begitu berharga.

‘ Zaman remaja adalah zaman kemuncak segala kenikmatan dunia, terlalu suka berseronok, hingga lupa kepada Pencipta. Kerana mereka rasa mereka mempunyai segala-galanya, kesihatan tubuh badan, tapi digunakan untuk mencari pasangan, kelapangan masa , tapi berhibur sana sini, dan timbunan harta benda, tapi dibazirkan dengan perkara tak berfaedah. Akan tapi alangkah bahagianya hidup jika dirimu menjadi remaja bertaqwa, dikau curahkan segala usia mudamu untuk berbakti kepada yang maha Esa dan curahkan segala usia kudratmu berkhidmat untuk Islam tercinta. Ingatlah, bahawa kewajipan mu lebih banyak daripada waktu yang dimiliki’

Cukup indah susunan katanya, dan cukup dalam maknanya. Qalbinya terus bergetar, semakin kencang dan semakin hebat kuasa mendesak. Hairan… seharusnya kata-kata tersebut telah begitu sebati dalam dirinya. Ya, itulah perkara yang seringkali dilontarkan oleh naqibnya. Kata-kata keramat yang menjadi tangkal penguat diri dalam perjuangan menegakkan agama Allah. Kata-kata pendorong bilamana semangatnya hampir kabur. Kata-kata antibiotik yang memberi perlindungan diri dari suntikan racun ‘UNDUR’. Aneh…apakah yang membuatkan doronya berada dalam keadan luar biasa. Perasaannya terus membuak-buak memenuhi ruang jiwa dirinya. Adakah si pengirim mesej itu yang membuatkan dirinya tak dapat duduk diam? Ya, tak salah lagi, memang dia telah letakkan pengharapan yang tinggi kepada si pengirim mesej itu. Seorang yang telah sekian lama dia dudukkan dalam qalbinya.

‘ Elly! ‘ itulah yang mampu dilafazkan sejurus menerima mesej tersebut. Tatkala terbitlah perasaan terkejut , keliru dan ingin tahu. Apabila membaca mesej tersebut dia tertanya-tanya mengapakah perempuan seperti Elly mengirimkan mesej kepadanya? Walhal dia dan Elly jarang sekali bertegur sapa. Adakah memang ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Elly? Atau ia hanya sekadar satu kata-kata hikmah dalam mengingatkan orang lain. Sememangnya seseorang itu akan sentiasa didatangkan oleh pelbagai khayalan bilamana mendapat sesuatu dari orang yang ditaruh hati. Kerana itulah mesej itu menjadi berharga pada dirinya.

Terimbas kembali kotak ingatannya, perancangan Allah dalam menemukan mereka. Bermula sewaktu Elly bertanya dia jalan. Sesat barangkali. Qalbinya mula tertarik . ditakdirkan pertemuan kedua sebagai urusetia sebuah program. Namun tak pernah bertegur sapa dan akhirnya ditemukan sekali lagi dalam mengepalai sebuah persatuan. Persatuan yang sentiasa terdedah kepada ahli-ahli yang inginkan keterbukaan. ‘ ini peluang dakwah. Persatuan ini perlu dibetulkan. Insya Allah kerja secara berjemaah mampu memberi kekuatan. Dan aku yakin, perlunya konsep lengkap-melengkapi dalam melaksanakan tugas ini terutamanya bila aku lemah!’ tinggi cita-citanya.

Namun ia tak lama. Elly ingin tarik diri. Sempat juga mereka berbincang.
‘ ana harap enti dapat Bantu dalam tugas dakwah ini. Persatuan ni perlu dibetulkan. Enti seorang yang faham. ‘
Elly mula ragu bila menyedari dirinya diperlukan. Tarik diri atau tidak. Akhirnya keputusannya muktamat.
‘ ana akan tinggalkan. Ana ada tugas dakwah yang lagi penting ’
‘ moga Allah menemukan kejayaan atas usaha dakwah anta. ‘
‘ enti juga…’
semejak itu , dirinya semakin mengagumi perempuan itu. Sememangnya seorang srikandi. Berpendirian dan tabah. Malah disenangi semua orang. Jiwanya cukup besar.

Itulah penamatnya. Dan kini telah sekian lama mereka tak berhubung. Apatah lagi bertegur sapa. Tak mustahillah kedatangan mesej dari seorang yang pernah ditaruhi harapan mampu membolak-balikkan qalbinya. Kini, mesej tersebut bagaikan memberi lampu hijau kepadanya dalam membuka sebuah perbualan. Baginya satu peluang telah muncul di depan mata. Inilah ruang untuk dia mendalami hati perempuan tersebut. Sememangnya nafsunya itu telah mula menyekat kebijaksanaan akal dalam membuat pertimbangan.

‘ Atiq, kau kena kuat! Jangan ikutkan kehendak nafsu kau tu! Ingat, musuh kita berada dimana-mana sahaja. Dan mereka akan gunakan sehalus-halus cara untuk menundukkan kita.’
‘ astaghfirullah hal azim….’
Tiba-tiba suara itu terbit dalam lubuk qalbinya. Akal yang waras memandu dirinya membuka ruang kepada si Pencipta. Dia terus beristighfar sehingga dirinya tenang. Barulah dia sedar, sebentar tadi bisikan iblislah yang telah membolak-balikkan qalbinya.
‘ Ya Allah, lindungilah aku… ‘
dia terus berdoa…

Ya, sebentar tadi dia telah berhempas pulas berentap dengan musuh anak Adam itu, iblis laknatullah. Dimulakan dengan sehalus-halus hasutan iaitu membalas mesej dan diakhiri dengan zina hati barangkali. Dan akhirnya sudah tentulah musuh anak Adam itu akan ketawa terkekeh-kekeh meraikan kejayaan menumpaskan anak Adam. Ditambah pula dengan penambahan berat badan sebagai ganjaran yang menjadikan kebanggaan kaum mereka. Dengan mudah mereka menjayakan strategi menghancurkan anak Adam. Hanya dengan satu kelemahan anak Adam yang masih diulangi, kegagalan mengikut perintah Allah dan kelalaian mengingatiNya. Cukuplah kesilapan ini dilakukan oleh Nabi Adam yang memakan buah khaldi. Janganlah kita ulangi dan jadikanlah ia sebagai pengajaran.

Sejurus, dalam benak fikiran Atiq terlintas sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh naqibnya mengenai hasutan iblis ke atas anak Adam. Hasutannya mudah tapi halus.
‘ terdapat sebuah buku di tengah-tengah hamparan carpet. Tugas kamu mudah, ambil semula buku tersebut tanpa menyentuh permukaan carpet. Hmmm, satu lagi, seharusnya tidak menggunakan sebarang alat untuk mengabil buku tersebut.’
‘ menarik…’ bisik Atiq.
Lalu dicubanya untuk mencapai buku tersebut. Tidak sampai. Sememangnya buku itu jauh di tengah carpet. Dihulur kaki, juga tidak sampai. Kalau ditolak buku dengan penyapu dikira melanggari peraturan. Mahu saja dia menapak di atas carpet itu lalu mencapai buku tersebut.
‘ hish, penat fikir. Macam mana ye caranya… ‘ bisik hatinya. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia mengaku kalah.
‘ caranya mudah. Tak perlu fikir panjang. Yang penting strategi yang teliti. ‘
Ringkas. Itulah klu yang diberi si naqib. Terlintas satu ilham. Lalu dia segera menggenggam hujung carpet. Sedikit demi sedikit dia menggulung carpet tersebut sehingga hampir dengan buku. Dicapai buku.
‘ berjaya.’ Bisik hati kecilnya.
‘ bagus. Itulah caranya. Jadi apa pengajaran yang diperolehi jika kita kaitkan dengan ‘hasutan syaitan’ ? cukup mudah. Hasutan syaitan itu strategik dan teliti. Cukup halus. Hakikatnya si syaitan telah menyusun strategi hasutan sebelum menjayakannya. Jarang sekali makhluk ini menghasut anak Adam secara terang-terangan. ‘wahai manusia, pergilah kau membunuh.’ Tidak sama sekali. Tetapi hasutan dimulakan dengan seringan-ringan dosa. Mungkin bermula dari mengujungi tempat-tempat maksiat, kemudian arak. Seterusnya zina akhirnya bunuh. Siapa sangka? Nauzubillah. Itulah carpet yang digelung sedikit demi-sedikit dan akhirnya buku (matlamat) di tengah-tengahnya dapat dicapai dengan mudah.’

Ya. Tepat sekali. Itulah yang sedang dihadapinya. Jika dia termakan hasutan itu, barangkali akan dia membalas mesej tersebut. Siapa sangka, dari perbualan ingat mengingati bertukar kepada perbualan yang mengambil berat hal peribadi. Kemudiannya menaruh hati. Qalbi yang diturut tercetuslah cinta terlarang. Kemudian mula mengatur pertemuan untuk merungkai rindu. Siapa tahu, apabila rindu yang tertahan dilepaskan maka terdoronglah anak Adam kepada dosa besar zina. Adakah dosa ini akan berterusan? Tidak cukup dengan itu terlintas untuk membunuh.

‘ sekali lagi ku mengharapkan agar dijauhi dari dosa-dosa besar ya Allah. Wahai Atiq, ingatlah, Islam mengajar kita untuk menghindar, bukan merawat.’
Bercucuran air matanya. Badannya menggigil. Qalbinya sebak. Masih ada yang sayang. Lalu dicapai telefon bimbitnya. Ditekan punat untuk permintaan ‘option’ dan kemudiannya ‘delete’. Dengan itu tidak tersimpanlah mesej tersebut di dalam memori telefon bimbitnya. Mungkin itulah yang terbaik dalam mendidik qalbinya. Kemudian dia segera mengambil air sembahyang. Didirikannya solat sunat dua rakaat memohon taubat dan hajat. Selesai, dia terus menggerakkan tasbih sambil lidahnya menuturkan zikir. Disambung pula dengan bacaan Al Quran dan akhirnya bertaffakur dia di depan Ilahi.
‘ ya Allah, aku benar-benar lemah. Aku memerlukan petunjukMu. Kau kuatkanlah qalbiku ini. Qalbiku ini goyah ya Allah. Aku memohon ampun ya Allah, kaulah Tuhan yang Maha Agung. Kepada Kaulah aku memohon taubat…’
tertunduklah qalbinya di bawah rahmat Allah. Sayu. Sesungguhnya itulah jalan dalam mendidik qalbi. Cinta Ilahi.

Friday, December 12, 2008

topi jerami





Tersengguk-sengguk Ali mendengar kuliah subuh pada pagi itu. Mungkin terlalu penat setelah berhempas pulas selama 3 hari dalam menggerakkan program kali ini. Dia benar keletihan. Setiap patah yang disampaikan oleh Si Penyampai Kuliah tak mampu ditangkap ke kotak fikiran. Kini dia telah berada di dunia yang lain. Keadaanya itu mampu melahirkan rasa simpati kepada sesiapa yang melihatnya. Adakalanya ragamnya itu kelihatan lucu. Mana taknya, bilamana dia memakai topi jerami tersebut kelitan kepalanya agar besar. Tambahan pula keadaannya yang tersengguk-sengguk bagaikan seorang yang benar-benar faham dan menjiwai kuliah yang disampaikan. Sangat khusyuk.

Hakikatnya, di kepalanya itu bukanlah topi jerami. Tapi itu adalah 'snow cap' yang dibelinya di Masjid India beberapa bulan yang lalu. Kononnya dia membayangkan dirinya seperti 'Ustaz Rock' yang sentiasa tampil dengan bergaya sebagai seorang pendakwah kontemporari.

Tapi malangnya kawan-kawannya lebih gemar menggelarkan 'snow cap' itu sebagai topi jerami dari memberi gelaran kepadanya seperti Ustaz Rock. Mungkin ciri-ciri topi itu yang berwarna coklat muda kelihatan seperti jerami atau pengaruh daripada 'manga' popular Jepun yang bertajuk 'ONE PEACE'. kisah yang menjadi kegilaan remaja jepun itu mengetengahkan watak utama yang memakai topi jerami dan merupakan seorang yang kelakar serta handal berlawan. Begitu hebat pengaruh komik Jepun sehingga Ali dijadikan bahan gurau kawan-kawannya.

Kini topi jerami tidak lagi ditempatkan dikepalanya. Mungkin dia malu atau tidak tahan dijadikan bahan gurau kawan-kawannya. Baginya, cukuplah dia sarungkan topi itu sepanjang 3 hari program yang dilalui. Cukuplah dalam 3 hari itu dijadikan bahan tawa rakan-rakannya.Ada beberapa perkara yang dipelajarinya selepas peristiwa itu.

Pertama, menutup kepala bukanlah betujuan untuk bergaya, tetapi mengangkat sunnah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Kedua, tujuan menutup kepala adalah untuk mendidik diri agar sentiasa merendah diri. Sebab itulah ketika solat kita disuruh menutup kepala, agar diri ini sentiasa rasa hina dan rendah diri ketika menghadap Si Pencipta. Ketiga, Rasulullah sebagai contoh terbaik, bukan mana-mana artis atau watak-watak yang dicipta oleh makhluk untuk hiburan makhluk.

dia kembali mentarbiyah aku






Setahun aku menanti. Terus menanti kedatangan dia. Temu janji ini telah diatur setahun lalu. Mana mungkin aku akan melepaskan peluang untuk bertemu dengannya. Ya peluang yang jarang kali di perolehi seharusnya digunakan sebaik mungkin.

Teringat aku akan pemergianya setahun yang lepas. Dia pergi dalam keadaan aku yang belum bersedia. Sedih...sewaktu itu aku bagaikan tak redha atas pemergiaanya. Terasa kecewa dan penyesalan menyelubungi diriku kerana tidak mengambil kesempatan untuk terus dekat dengannya pada masa itu. Namun masa tetap tidak mengizinkan kami untuk terus bersama. Aku faham,sewaktu itu dia harus pergi dan ada yang lain akan menggantikan tempatnya. Dia berjanji akan kembali setahun kemudian. Hari ini dia telah kebali. dia telah menepati janji. Aku bersyukur kerana Allah mengizinkan aku untuk bertemunya. Hatiku gembira dan berazam untuk meraih tempat sepanjang sebulan dia bersamaku.

Dia benar-benar telah kembali. hari ini cuaca begitu tenang. Tiada hujan, tiada panas terik,juga tiada ribut petir. cuaca juga bagaikan meraikan kedatangannya. Aku yakin, kedatanganya kali ini akan membawa seribu hikmah. Dia akan mendidik kesabaran aku disamping mentarbiyyah diri dengan erti islam. Dialah sebaik-baik tempat untuk aku mengislah diri. Ya, akan ku guna peluang ini sebaik mungkin. Akan kupastikan pemergiannya nanti bukanlah satu kekosongan.

Dalam tempoh sebulan ini,ku cuba mengkhatamkan Al-Quran bersamanya. Begitu juga amalan sunat yang lain. Akan ku guna peluang bersamnya dalam tempoh sebulan ini. Semasa pertemuan kami setahun dahulu,aku lalai dan leka dengan kesibukan dunia. Aku bagaikan tak sedar kehadirannya. Akhirnya aku gagal untuk bersamanya, gagal untuk meraih tawaran hebat ini. Ketika itu aku membuatkan al-quran bagai sebuah kitab kosong yang tidak mencatatkan sebarang perkara bermakna. Begitu juga amalan-amalan lain. Sku gagal laksanakannya. Dan dia, bagaikan terabai...

Kali ini aku pasti perbaiki diri. Akan ku pastikan kesilapan lalu tak berulang lagi. Aku yakin,inilah ruang terbaik dalam mentarbiyyah diri ini. Tarbiyyah ini juga yang akan memandu aku selama setahun pemergiannya nanti. Dalam tempoh sebulan ini,aku ingin bersamanya setiap malam. Inilah peluang aku untuk meraihnya dalam orang lain lena dibuai mimpi. Sepuluh hari sebelum pemergiannya, dia ada menawarkan aku untuk bersamanya di satu malam yang penuh kenikmatan. Inilah peluang terbesar. Tawaran terhebat yang takkan diperolehi pada hari-hari lain. Satu malam yang teristimewa untuk bersamanya.

Setiap yang datang pasti akan pergi. Ku mengharapkan pemergian mu pada kali ini biarlah dalam kegembiraan. Walaupun dalam lubuk hati ini sedih, aku yakin kau akan kembali semula. Ya Allah, Kau panjangkanlah umur aku agar dapat ku temu RAMADHAN sekali lagi. Sesungguhnya Kau datangkan dia dengan penuh kerahmatan. Kau berilah aku kekuatan untuk meraih keberkatan dalam tempoh dia di sisi ku...

hidup sebagai hamkha

Hamkha...satu amanah yang telah Allah pertanggungjawabkan kepada umat manusia..amanah yang maha berat dan mana mungkin ditanggung oleh semua makhluk. Namun manusia itu jahil, terus menerima dengan perasaan ego. Maka amanah yang berat mana mungkin dilaksanakan, berlakulah pertumpahan darah, kehancuran dan porak-poranda. Apakah mereka lupa tugas sebagai hamkha yang dahulunya diterima dengan rela hati? Apakah meraka lupa suatu hari nanti amanah ini akan dipersoalkan oleh Allah? terlaksana atau tidak? Apakah mereka lupa? atau mungkin sekali mereka meninggalkan amanah ini tanpa rasa bersalah setelah menemukan syurga dunia?

Dunia...ternyata telah terlalu uzur. Namun keuzuran inilah yang telah memberikan kenikmatan kepada manusia. Di mana mereka tempatkan taklifan hamkha yang telah diamanahkan? Umat Islam bagaikan hilang pedoman, terus hanyut menikmati hidup di syurga dunia tanpa sedar akhirat semakin hampir. Hatiku bergetar kencang melihat akan saudara seaqidah yang bagaikan telah hilang identiti. Aku takut jika dunia ini akan menjadi syurga dalam diri ku. Ya Allah, berikanlah aku petunjuk yang mampu mendorong ku ke arah redha Mu...

Aku hamba....kerdil diri ini di bawah Pencipta yang satu. Pencipta yang seringkali membuka kasihNya. Namun hamba ini terus ego merasakan diri tak memerlukan Si Pencipta. Di manakah kehambaan ku? adakah aku lupa, hidup tanpa kebergantungan pada Nya adalah sia-sia? ya, mana mungkin aku meraih garisan horizotal yang lurus tanpa garisan vertikal, kerana garisan vertikal itulah yang akan menetukan lurusnya garisan horizontal. Ya Allah, kau tundukkanlah hatiku ini. Kau berikanlah aku rahmat dan kasihMu. Sesungguhnya aku rindu untuk menggarap cintaMu. Aku takut jika tindak tandukku akan menidakkan Mu. Aku takut akan kehilangan redha Mu. Ya Rabbi, kau bantulah aku, sesungguhnya tak terdaya diri ini menaggung amanah Mu. Izinkanlah aku menjadi hambaMu. AKU TETAP HAMBA MU..

Aku khalifah....satu tanggungjawab untuk mentadbir muka bumi. Tanggungjawab mendaulatkan agama Allah. Juga tanggungjawab mengajak manusia ke arah penyembahan kepada Tuhan yang satu. Taklifan yang membawa erti besar kepada umat manusia. Ternyata kita masih ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Namun sejauh manakah yang telah kita lakukan dalam menggalas amanah ini? Tertegakkah amar maaruf nahi munkar? Jelas, tak terdaya kita untuk menggalasnya. Ya Allah, sesungguhnya amat besar amanah ini. mengapakah kami umat manusia berani untuk menggalasnya. Ya Rabbi, sesungguhnya aku khuatir jika amanah yang kau berikan ini akan memesongkan diri ini. Ya Salam, kau kuatkanlah aku, sesungguhnya aku ini lemah untuk memikul amanah ini. Bantulah aku untuk terus memperjuangkan agama Mu. AKU TETAP HADIR SEBAGAI KHALIFAH.

AKU HAMBA, AKU KHALIFAH, AKULAH HAMKHA. satu amanah yang akan aku laksanakan seikhlas mungkin, satu taklifan yang akan pikul sebaiknya dan satu nama yang akan ku genggam seeratnya. sesungguhnya kita takkan dapat lari dari amanah ini. MAKA, HIDUPLAH DI DUNIA INI SEBAGAI HAMKHA.