Wednesday, October 21, 2009

Suka Rela Atau Paksa Rela?

Sukar untuk digambarkan perasaan ini apabila diwar-warkan tentang bencana yang berlaku di Padang Indonesia baru-baru ini. Gempa bumi dengan gegaran 7.6 skala ritcher sememangnya telah memusnahkan segala-galanya. Kesannya banyak jiwa yang terkorban dan tidak kurang juga yang mengalami kecederaan parah. Nah, fenomena yang terjadi ini benar-benar membuka mata semua lapisan masyarakat. Sememangnya kuasa Allah maha hebat dan Dia berhak untuk menguji hamba-hambaNya. Lantas, diturunkan persaan kasih dan sayang kepada insan-insan yang peka seterusnya sedikit sebanyak menghulurkan bantuan meringankan beban. Mereka suka dan rela dalam melakukan tugas-tugas kemanusiaan ini. Mereka mengorbankan masa bagi membantu jiwa-jiwa yang lara. Malah mereka sangat berhasrat jika insan-insan yang diuji ini mampu meneruskan survival kehidupan ini. Alangkah indahnya jika jiwa-jiwa ini mampu dirantaikan dengan kebesaran Si Pencipta.

Tugas-tugas kemanusiaan. Dimanakah peranan saya? Adakah saya suka dan rela dalam melakukannya? inilah perkara yang seringkali saya timbang-timbangkan. Mungkin seringan-ringan bantuan boleh dilakukan. Terdetik persoalan yang sama yang sememangnya sukar untuk dijawab. Satu pengalaman yang mampu dikongsi. Ceritanya ringkas, iaitu berkenaan pengalaman mengutip derma untuk sumbangan mangsa gempa bumi di Padang. Kutipan dilakukan di sekitar konsert nasyid yang diadakan semasa Pesta Konvo di UIA baru-baru ini. Kami menerima sebuah tabung dari Global Peace Malaysia. Kami hanya diarahkan untuk meninggalkan tabung tersebut di gerai makan yang kami uasahakan. Namun dari hasil pemerhatian saya, insan-insan yang lalu-lalang di kawasan sekitar amatlah kurang peka. Tidak nampak? tidak ada duit? ataupun tiada belas kasihan untuk membantu?

Maka terdetiklah di kotak fikiran ini, 'tabung harus digerakkan'. Kebetulan Abang Syah berada di gerai. Abang Syah merupakan seorang senior yang amat gemar dalam melakukan kerja-kerja kemanusiaan seperti ini. Namun, pada malam itu pakaianya kurang sesuai. Ya, apakah yang akan dikatakan orang jika mereka yang melakukan kerja sukarela memakai t-shirt kuning dan dipadankan dengan seluar jeans. Dengan nada bergurau, saya usulkan cadangan tersebut. Tidak sangka beliau bersetuju. Pada saat itu juga kami terus menggerakkan tabung. Hakikatnya saya malu. Namun melihat akan riak wajah abang Syah yang bersahaja, saya teruskan juga hasrat itu.

Pelbagai respon yang diterima semasa kutipan ini dijalankan. Pertama, menghulurkan sumbangan dengan seikhlas mungkin. Mereka terus masukkan wang sumbangan ke dalam tabung. Nilai yang dimasukkan bergantung kepada jumlah yang ada. Kedua, menghulurkan sumbangan kerana mengenali kami. Ramai dari kalangan kenalan. Tidak pasti, jika orang lain yang meminta sumbangan adakah mereka akan menyumbang. Ketiga, menghulurkan sumbangan setelah meyakini. Mereka bertanya dahulu, "adakah sumbangan ini akan sampai kepada mangsa?". Kami hanya menjawab ya kerana kami akan menghantar wakil ke sana. Baru mereka menyumbang. Keempat, menghulurkan sumbangan kerana malu kepada kami. Pada awalnya mereka tidak ingin menyumbang. Namun, setelah berdiri dihadapan mereka beberapa ketika, barulah mereka hulurkan bantuan. Kelima, langsung tidak mahu menghulurkan sumbangan. Mungkin mereka fikir jika ada wakil dari kawan-kawan dalam kelompok mereka menyumbang itu sudah cukup.

Dalam konteks diri sendiri, saya berasa agak kekok dan malu. Tidak mampu berkata apa-apa dan hanya mampu tersenyum di sebelah Abang Syah sahaja. Malah, hati ini meronta-ronta agar tugas ini dihabiskan secepat mungkin. Maklumlah, amat janggal dan jarang bagi saya dalam melakukan kerja ini. Alhamdulillah kami berjaya meminta sumbangan hampir semua kelompok kumpulan yang berada di sekitar pentas. Sememangnya tiada masalah dalam melakukan kerja kemanusiaan. Cuma kotak fikiran yang negatif sahaja menghalang kita melakukan tugas ini. Seharusnya ringankan mulut untuk mengajak orang menghulurkan sumbangan. InsyaAllah akan ada yang menyumbang. Banyak atau sedikit adalah perkara ke dua. Pedulikan jika kita dihalau, dimaki mahupun dipuji, yang penting adalah niat membantu harus diteruskan. Sekurang-kurangnya kita sudah melakukan satu tugas yang baik. Mungkin ini sahajalah sumbangan yang mampu kita berikan. Hakikatnya lakukanlan dengan hati yang suka dan rela. Tidak perlulah kita mengharapkan balasan dan cukuplah sekadar dipermudahkan urusan jika kita pula diuji satu hari nanti. Ringkasnya, hiduplah dengan menabur jasa.