Thursday, December 10, 2009

Darab Atau Bahagi

Keputusan peperiksaan semester 1 sesi 09/10 telahpun dikeluarkan. Dalam tempoh terdekat ini semua mahasiswa UIAM akan menyambung pengajian bagi semester ke 2. Keputusan sem 1 sesi ini bukanlah yang terbaik untuk saya. Malah boleh saya katakan paling teruk dan saya mengalami penurunan pada CGPA.

Nah, apakah puncanya? Saya mula mengambil masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Kesilapan yang lepas tidak boleh diulangi. Momentum yang baru harus dipacu dengan lebih sempurna agar menghasilkan tujahan lebih jauh. Mungkin kegagalan saya dalam pengurusan masa yang mengundang kepada markah yang corot. Ya, mana mungkin orang seperti saya yang tidak mempunyai daya fokus yang tinggi untuk meraih keputusan yang cemerlang dalam kesibukan dengan bebanan 21 kredit pada semester lepas. Ditambah pula dengan kesibukan aktiviti persatuan. Tapi itu semua hanyalah alasan…

Tatkala bermuhasabah, teringat akan nasihat abang. Abang seorang mahasiswa yang cukup cemerlang. Dari konteks akademik, beliau tidak pernah memperoleh keputusan dibawah 3.7. Juga tersenarai dalam senarai dekan di Universiti Malaya. Pada masa yang sama bergiat aktif di dalam persatuan juga kerja-kerja dakwah. Dan kini baru sahaja mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin dan menyambung pengajian didalam PhD.

Nasihatnya cukup ringkas. Ia berkenaan dengan usaha kita. Tatkala kita disibukkan dengan sesuatu perkara, dan perkara itu mendesak kita untuk membahagi-bahagikan komitmen maka janganlah dibahagi-bahagikan komitmen yang sedia ada. Tetapi gandakan usaha. Justeru, di sini kita memerlukan pengorbanan dari konteks masa rehat, masa bermain, masa berhibur dan sebagainya. Ingat bila mana kita membahagikan komitmen, berkemungkinan urusan kita ibarat siap separuh jalan. Hasilnya juga hanyalah ala kadar kerana tiada kesungguhan dan fokus di situ. Maka gandakanlah usaha.

Analogi yang termudah adalah lebih baik jika kita mempunyai dua keping roti untuk dikongsi dua orang berbanding jika kita mempunyai sekeping roti untuk dikongsi sejumlah orang yang sama. Betul nasihat abang. Ia sedikit sebanyak membuka minda saya. Saya terus berfikir. Mungkin seharusnya saya gandakan usaha sejak dahulu lagi. Maka momentum ini terus ditujah untuk yang mendatang. Malah momentunya perlu digandakan bagi meraih impak tujahan yang lebih besar…