Thursday, November 15, 2012

SEDIKIT TAPI BERKAT

Apa yang saya lakukan setelah bergraduasi? Tamat pengajian dengan jayanya, menggenggam erat segulung sijil, apakah menjadi jaminan untuk mendapatkan perkerjaan? Mungkin ya, mungkin tidak. Bergantung kepada kapasiti individu. Lain orang lain kemampuan. Terus terang, bagi saya tidak semestinya. Mungkin saya kurang bernasib baik, tidak berkesempatan berkerja di dalam bidang. Saya terdiam dan terus merenungkan nasib…malang?...tidak mempunyai daya saing dengan graduan yang lain?...lembap?...akhirnya jawapan yang diperolehi adalah, ‘REZEKI ITU DIBAWAH TADBIR ALLAH’.

MENCARI KERJA

Sebaik tamat pengajian, teman sekuliah menawarkan kerja sebagai pembantu arkitek. Bagi saya apa salahnya untuk mencuba. Sesi temuduga berjalan dengan lancar. Saya yakin jawatan yang kosong bakal menjadi milik saya. Namun penantian selama sebulan amat mengecewakan tanpa sebarang maklum balas dari syarikat tersebut. Ini tandanya bahawa permohonan saya ditolak.



Matlamat saya berkerja adalah untuk merangkul sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang mampu dijadikan bekalan untuk melanjutkan pelajaran. Ya, sebaik-baiknya, untuk melanjutkan pelajaran adalah lebih elok jika kita mempunyai pengalaman berkerja. Akhirnya terpaksa saya simpan rapi cita-cita tersebut setelah kegagalan menyandang perkerjaan sebagai pembantu arkitek. Ramai rakan-rakan bertanya, mengapa tidak diusahakan untuk memohon perkerjaan di syarikat yang lain?

Pertama, saya agak cerewet. Sebolehnya saya usahakan untuk memohon syarikat yang dimiliki oleh orang Islam. Malah pemilik syarikat tersebut berpegang kuat kepada Islam. Barangkali ini kaedahnya untuk menjamin rezeki yang halal dan bersih. Kedua, keseronokan dalam menguruskan sebuah NGO, sedikit-sebanyak menyibukkan saya dengan kerja-kerja kemasyarakatan. Lalu melupakan saya untuk memohon perkerjaan dalam bidang.

Tindakan saya ini merisaukan kedua orang tua saya. Mereka cukup berharap agar saya menyambung pengajian sehingga ke tahap tertinggi. Barangkali mereka lebih gemar jika saya menjadi seorang ahli akademik. Sememangnya saya nekad untuk menyambung pengajian. Namun kecintaan saya melakukan tugas kemasyarakatan dan dakwah, menyebabakan saya menangguhkan sementara waktu niat yang telah disemat. 

Setelah hampir enam bulan terlibat kerja-kerja sukarelawan tanpa dibayar sebarang gaji, akhirnya seorang senior NGO tersebut menawarkan untuk berkerja sepenuh masa. Bagi saya ini merupakan satu ruang yang baik dalam berpartisipasi secara optimum dalam kerja-kerja ini.

NIAT YANG HARUS DILURUSKAN

Soalan yang gemar diajukan oleh masyarakat jika membincangkan perihal perkerjaan adalah berkaitan gaji. Bagi masyarakat umum, gaji yang besar merupakan kayu ukur kejayaan hidup. Saya tidak terlepas dari dihujani soalan tentang gaji. Terus terang saya katakan, gaji berkerja sebagai seorang sukarelawan bukanlah banyak. Kebiasaannya kita hanya memperoleh separuh dari apa yang sepatutnya diterima oleh seorang graduan yang ber ijazah.



Memang tidak dinafikan, hari ini duit menjadi alat dalam mencapai sesuatu. Malah taraf hidup di kawasan bandaraya yang tinggi memerlukan seseorang itu bergaji besar bagi menjamin survival hidup. Hari ini, jika seseorang itu bergaji sebanyak RM2000 boleh dianggap miskin jika dia hidup di pusat bandar seperti Kuala Lumpur.

Apakah gaji yang sedikit ini menghalang kita untuk terus hidup? Jawapanya tidak jika kita hidup dalam keadaan yang berpada (qanaah). Yakinlah, jika rezeki itu datang dari sumber yang halal pasti akan ada keberkatan. Teringat sebuah perbualan antara teman-teman sewaktu di kuliah dahulu. Apabila ditanyakan untuk apa menyambung pelajaran? Jawapan mereka cukup mudah, iaitu untuk memperoleh gaji yang lebih besar sewaktu berkerja. Wah, begitu rendah nilaian ilmu hari ini. Mampu dijual beli bagi mengaut keuntungan.

Saya mempunyai teman, yang berkerja di sebuah syarikat swasta yang terkemuka. Gajinya memang setimpal dengan sijil ijazah yang diperolehi. Namun kehidupannya serba kekurangan. Setiap bulan ada sahaja wang yang tidak mencukupi. Bila ditanya dimanakah duit gaji dilaburkan? Tidak lain tidak bukan gaji tersebut digunakan untuk hidup secara bermewah-mewahan. Mewah dari segi makan, mewah pakaian, mewah kenderaan dan mewah segala-galanya. Apa yang lebih menyedihkan tiada wang yang diperuntukkan untuk ibu bapa di kampung. Apakah kita seronok hidup dalam sistem seperti ini?

Bukanlah diri ini ingin merasa selesa hidup seorang diri dengan gaji yang kecil. Sememangnya apabila berumah tangga perbelanjaannya menjadi lebih besar. Seharusnya perlu ada persediaan untuk itu. Namun apa yang membuatkan saya sedih adalah sikap generasi muda yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki. Lantas apa yang dikejar adalah kemewahan yang belum menjamin apa-apa. Bagi memperoleh kemewahan, mereka sanggup menggadaikan segala benda, ilmu, maruah dan prinsip.

Saya juga seringkali terfikir, apakah memperuntukkan setahun dua untuk berkerja sebagai aktivis sosial adalah satu kehinaan? Atau adakah ia satu penderitaan? Barangkali ada yang berpandangan begitu. Ya, siapa mahu berkerja untuk masyarakat yang pelbagai karenah, tanpa had waktu dengan gaji yang rendah. Banyak perkara yang terpaksa digadaikan. 

Kerana itu kita harus jelas akan niat yang dizahirkan keatas sesuatu perkerjaan. Sememangnya perkerjaan yang terbaik adalah perkerjaan yang kita minati. Semangat sukarelawan yang telah tertanam dalam diri saya. Kepenatan dan kekurangan wang menjadi cabaran dalam perjalanan hidup. Namun keghairahan melihat kegembiraan masyarakat menjadi penawar kepada kekurangan. Kerana itu saya yakin apabila niat diluruskan, maka tiada halangan dalam kita berhadapan apapun dugaan.

HADIR IKHLAS DALAM UJIAN

Apakah gaji yang diperolehi mencukupi? Jika dikira dengan logik akal memang tidak cukup. Namun seperti yang saya katakan, dalam mendepani alam perkerjaan harus ada niat yang benar atas apa yang akan dikerjakan. Saya juga tidak menafikan sebahagaian kecukupan ini ditampung oleh keluarga. Namun saya amat berpuas hati akan perbelanjaan harian yang hanya digunakan atas keperluan. Ini merupakan disiplin yang baik dalam mengurus kewangan.

Suka untuk saya berkongsi beberapa pengalaman dalam menguruskan perbelanjaan. Gaji yang sikit bukanlah menjadi masalah yang membataskan saya menggerakkan gerakan dakwah dan kemasyarakatan. Sekurang-kurangnya saya mempunyai sumber kewangan jika dibandingkan dengan adik-adik aktivis yang masih menuntut di menara gading. Kesungguhan mereka telah menambat hati saya untuk sentiasa mendahulukan wang dalam membolehkan mereka bergerak. Saya tidak mahu berkira-kira. Apa salahnya untuk kita membantu mereka yang ingin menggerakkan satu perkerjaan yang baik.



Ajaibnya, saya merasakan duit yang ada dalam simpanan seperti ‘beranak’. Semakin banyak saya keluarkan untuk pergerakan ini semakin tidak luak duit yang ada. Saya berasa cukup hairan dengan situasi ini. Pernah juga satu ketika kehabisan gaji bulanan sebelum gaji bulan hadapan masuk. Saat itu, walaupun saya kehabisan wang, namun ada sahaja rezeki yang datang. Elaun, kawan membayar hutang, tidak kurang juga makan percuma seperti jamuan pejabat atau individu tertentu belanja saya makan. Ya, rezeki itu tidak putus-putus.

Memang benar, hal duit ini kerap kali memeningkan kepala. Mahu pula jika kita ditimpa kemalangan, kereta rosak atau keluarga sakit. Saat itu kita kematian akal memikirkan dari mana wang mampu diperolehi. Hakikatnya hal ini adalah ujian dari Allah. Saya cukup risau tatkala diuji, gagal meletakkan kebergantungan kepada Allah. Jika pengharapan itu diletakkan pada tempat yang betul pasti Allah akan memudahkan urusan kita. Dari situ lahirnya keyakinan dan sudah tentu kehidupan ini akan lebih terarah. Keyakinan kitalah yang akan membuka bibit-bibit penyelesaian kepada masalah. Ya, Allah yang menurunkan masalah kepada kita, dan sudah tentu dari Allah penyelesaian itu hadir. Ikhlaslah apabila diuji, dan pertolongan Allah pasti akan tiba!

ALLAH YANG MENENTUKAN REZEKI

Hakikat rezeki itu datang dari Allah. Rezeki tidak hadir dalam bentuk mata wang sahaja. Barangkali ia hadir dalam bentuk kebahagiaan hidup, kesihatan, atau urusan yang sentiasa dipermudahkan. Usaha pula adalah jalan dalam meraih rezeki. Usaha tidak terletak kepada tindakan berkerja untuk mendapatkan wang. Usaha juga harus dilakukan melalui ibadat. Usah mudah berputus asa dalam bermunajat mahupun berdoa. Ibadat seperti solat Dhuha harus dilakukan secara istiqomah. Kerana melalui ibadat menggambarkan dekatnya hubungan seorang hamba dan Tuhannya. Dekat ini menghadirkan cinta. Dan orang yang dicintai akan sentiasa memperoleh manfaat.

Setiap rezeki yang diturunkan Allah kepada kita adalah menurut apa yang terbaik bagi kita. Yang lebih penting adalah yakin dan percaya bahawa Allahlah yang memberikan kecukupan. Oleh itu, setiap apa yang dikerjakan biarlah di bawah ketentuan Allah. Janganlah kita menjadi seorang yang sombong sehinggakan menentukan nasib kita sendiri.  Tanamkanlah dalam diri ini bahawa kepadaNyalah kita berusaha dan kepadaNyalah kita berserah. Kemewahan tidak menjanjikan kesenangan. Kesenangan hadir dalam keberkatan. Jadi, kejarlah keberkatan walaupun sedikit.

2 comments:

  1. Walaupon sueray xde lnsg pengalaman bekerja atau usaha untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan,
    Ape yg alie buat nih bagus sgt..

    Ssh nak jumpe org yg x mengejar gaji besar semata2 dah skrg..

    I'm so proud of you!
    =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sue,
      sebenarnya ni sekadar perkongsian sedikit pengalaman yang ada. ramai lagi individu yang berkerja seperti ni untuk membangunkan masyarakat. ujian dan liku-liku kehidupan ini yang akan mengajar dan mematangkan kita. banyak lagi yang ali kena belajar,huhu...
      anyway, terima kasih sebab spend masa untuk baca artikel ni

      Delete