Monday, February 2, 2009

Saya Dan Si Pencipta

Teringin untuk saya berkongsi beberapa buah cerita dengan anda semua. Ia adalah cerita berkenaan pengalaman saya. Ya, beberapa pengalaman yang saya rasakan mampu dijadikan pengajaran. Kisah satu ketika saya menjadi ego dan sombong dengan Si Pencipta. Sesekali terasa diri begitu jahil apabila menyingkap kembali kisah ini. Moga-moga akan dijadikan pengajaran.

Setahun dahulu, saya sudah mula terlibat dalam kegiatan dakwah. Bagi saya inilah peluang yang terbaik untuk menyumbang sesuatu kepada agama. Namun, ramai senior dari kuliah menasihati saya agar lebih berjaga-jaga dalam pengurusan masa. Memang benar, kehidupan sebagai seorang pelajar seni bina seringkali disibukkan dengan projek-projek yang memerlukan masa dan komitmen yang penuh. Saya tersenyum. Dalam hati saya berpegang teguh dengan keyakinan bahawa Allah akan membantu sesiapa yang berjuang ke jalanNya. Walaupun sesibuk mana penting bagi saya untuk meluangkan masa pada jalan Allah.

Pada hujung minggu itu, saya ditugaskan oleh lecturer untuk menyiapakan sebuah model. Semestinya masa yang banyak diperlukan untuk menyempurnakannya. Tidak cukup satu malam, barangkali dua hari penuh perlu diperuntukkan untuk kerja ini. Namun saya masih membuat kira-kira bagaimanakah masa rehat saya akan diisi. Kebetulan pada hujung minggu tersebut saya telah diamanahkan oleh persatuan untuk ke sebuah kursus gerak kerja organisasi. Pada saya inilah peluang terbesar dalam memperuntukkan masa untuk dakwah. Atas pertimbangan bahawa masa boleh diagihkan sebaik mungkin saya nekad untuk ke kursus. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah. Yakin dengan pertolongannya.

Kursus tamat pada petang Ahad. Saya benar-benar letih. Namun, tiada masa rehat untuk saya. Ada tugas yang perlu saya selesaikan, siapkan model dengan segera. Sekali lagi saya membuat kira-kira, cukupkan satu malam untuk menyempurnakan tugas ini. Secara logiknya, memang tidak cukup masa. Saya tetap yakin yang saya berkemampuan. Tambahan pula Allah pasti akan membantu saya kerana saya telah menginfa'kan masa ke jalanNya.

Pada malam itu saya bergegas ke studio dan memulakan kerja dengan segera. Seperti biasa, kerja melakar, memotong dan mewarna board menjadi tugas yang paling utama dalam menghasilkan model. Sewaktu jam tepat menunjukkan angka 12, sayapun memulakan kerja memotong. Board agak keras. Tangan saya mula bengkak kerana tak henti memotong board dengan menggunakan cutter yang kurang selesa apabila digenggam. Saya mula risau kerana kerja memotong telah dilakukan hampir tiga jam, tapi masih belum selesai. Malah kurang dari separuh board sahaja yang sudah dipotong. Masa berlalu cukup pantas. Rakan-rakan sekuliah lain sudah hampir menyempurnakan model. Saya tertanya-tanya, mengapakah saya masih memotong board. Saya mula panik.

Pada saat itu, sifat sombong dan ego mula terbit dalam diri saya. Saya mula mengungkit dan menyalahkan Allah. Saya mempersoalkan dimanakah pertolongan yang dijanjikan. Saya lupa,ketika itu Allah sedang menguji saya. Hati saya benar-benar bersangka buruk pada Allah. Saya mula tidak yakin dengan kata-kataNya. Hilang segala kebergatungan saya pada Dia. Motivasi saya mula hilang, malah saya cukup yakin bahawa kerja ini takkan mampu saya siapkan. Fizikal saya mula lemah. Tangan mula membengkak.
Saya mula hilang pertimbangan akal. Namun saya tak tahu mengapa tangan masih boleh berkerja. Terus memotong board. Hakikatnya hati terus mendesak, terus menyalahkan keadaan. Dalam keadaan saya yang hampir putus asa, tiba-tiba saya didatangkan oleh seorang sahabat. Dia datang dan terus hulurkan bantuan. Sedikit demi sedikit kami memotong board sehingga selesai. Sedikit lega. Sekali lagi saya membuat kira-kira. Hanya ada empat jam sebelum perbentangan. Saya perlu segera mewarna board yang telah dipotong.
Diringkaskan cerita, saya telah berjaya menyiapkan model beberapa minit sahaja sebelum perbentangan. Terbit rasa puas di hati. Bukan apa, model yang memerlukan beberapa hari untuk disiapkan telah berjaya saya siapkan dalam satu malam. Rakan-rakan berasa agak terkejut kerana bagi mereka ini perkara yang agak luar biasa. Malah, saya bangga dengan hasil kerja tersebut kerana ia kelihatan lebih menarik apabila dibandingkan dengan model rakan-rakan yang lain. Barangkali sedikit comot akan menurunkan gred markah.
Saya telah dipermudahkan urusan,namun dalam keadaan itu saya telah lupa kepada Si Pemberi nikmat. Saya leka dengan kejayaan ini. Sikap riak dan bangga menguasai diri. Saya cukup ego dan sombong di hadapanNya. Saya telah hilang kebergantungan kepada Allah. Saya rasakan diri cukup-cukup jahil ketika itu. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya sedar akan kesilapan saya. Seharusnya saya tidak bersikap sombong dan ego di depanNya kerana segala-galanya adalah dariNya.
Saya bawakan kisah ini sebagai pengajaran kita bersama. Satu pengalaman yang saya alami sendiri. Teringin saya untuk mengetengahkan beberapa perkara. Pertama, Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Tetapi kita sebagai insan jarang sekali berpegang teguh pada janji yang pernah kita lafazkan di hadpanNya satu ketika dulu. Kedua, sama-sama kita bermuhasabah, sejauh mana kita meletakkan kebergantungan kepada Allah. Kekadang kita hilang keyakinan kepadaNya. Hakikatnya jika ini berlaku ia sama seperti kita menidakkan keesaan Allah, nauzubillah… Akhir sekali, sentiasalah kita bersangka baik kepada semua orang. Bahkan penting untuk kita menilai sejauh mana kita bersangka baik kepadaNya. Moga-moga kisah yang saya kongsi ini mampu meletakkan diri kita lebih dekat dengan Allah, insyaAllah.

1 comment:

  1. kisah saudara memberi ikhtibar kepada saya.saya jugak budak seni bina..dan masih lagi berkira2 sama ada mahu melibatkan diri dalam bidang dakwah atau tak..sebab saya fikir tak dapat menguruskan masa dengan fleksible jika sy involve dlm bidang dakwah walaupun hati ini teringin berjuang dijalan Allah..jadi saya hanya terlibat di kampus (baru mula bertatih di dunia dakwah..).pengajaran nie amat berguna..thaks for the sharing

    ReplyDelete