Monday, November 26, 2012

ROTAN DAN KASIH EMAK

Kanak-kanak yang berusia 7 hingga 13 tahun melalui fasa yang menginginkan keseronokan. Bermain dan berkawan menjadi agenda utama. Tidak hairanlah dalam usia ini kanak-kanak sangat  aktif dan ligat. Namun keligatan ini harus dikawal dengan disiplin. Malah Rasulullah sendiri mengunjurkan untuk mendidik anak dalam usia ini dengan displin. Dan ajarkan anak-anak kamu bersolat ketika umurnya 7 tahun dan pukullah mereka jika mereka tidak mahu menunaikan solat pada ketika umur mereka 10 tahun.

Dunia kanak-kanak sememangnya indah. Saya tidak terlepas melalui fasa ini. Tidak dinafikan, dalam tempoh ini saya cukup aktif dan gemar bermain bersama rakan-rakan sebaya. Jika cuti sekolah, memang susah untuk lihat saya berada di rumah. Merayau-rayau menjadi aktiviti utama tanpa mengenal erti penat. Cuaca panas terik mahupun hujan lebat bukanlah halangan. Yang penting adalah keseronokan bermain.



Sewaktu usia kanak-kanak, perkara yang paling menakutkan saya adalah abah dan rotannya. Rotan abahlah yang banyak mendisiplinkan saya dan adik beradik. Jika abah meneriak memanggil kami, laju sahaja kami menyahut panggilan tersebut. Semuanya gara-gara rasa gerun akan rotan abah. Pada pengamatan kami Abah cukup garang. Hakikatnya, inilah ketegasan seorang bapa dalam mendidik anak-anak. 

Gaya didikan abah sememangnya berbeza dengan emak. Emak seorang yang lemah lembut dan penyayang. Kerana itu sewaktu kecil, emaklah yang menjadi tempat saya mengadu masalah dan bermanja. Namun, kerap kali kelembutan emak ini disalah erti oleh saya. Sikap emak yang lembut dan jarang marah menyebabkan saya naik kepala. Arahan dari emak selalu saya lengahkan kerana saya tahu emak tidak akan merotan kami adik-beradik. Paling kurangpun hanya meninggikan suara.



Namun, harus diingat, kesabaran manusia ada hadnya. Ketika saya berusia 10 tahun, pernah sekali saya melihat emak naik angin gara-gara saya malas mengaji. Seperti malam kebiasaan, emak akan memanggil kami adik beradik untuk mengaji Al-Quran. Mengaji adalah aktiviti yang kurang saya minati. Entah mengapa sejak kecil saya kurang cenderung dalam bidang agama.

Malam tersebut abah tiada di rumah. Barangkali ada aktiviti surau. Ketiadaan abah membebaskan saya dari penjara disiplin. Malam tersebut tiada orang yang akan memarahi jika saya bermain sepuas hati. Panggilan emak untuk mengaji pula mengganggu agenda saya untuk berseronok. Saya mengabaikan panggilan tersebut dan terus bermain.

Seorang demi seorang adik saya menyelesaikan bacaan. Kini tiba giliran saya. Setelah beberapa kali emak memanggil, saya dengan berat hati membuka Al-Quran sambil duduk bersila di sebelah emak. Saya membuka bacaan dengan membaca basmallah dan al-Fatihah. Kemudian menyambung bacaan pada muka surat yang telah saya selesaikan bacaannya pada malam semalam. Fikiran saya melayang. Masih belum puas bermain.

Perasan untuk bermain mengusai diri. Sebaik selesai membaca satu ayat, saya mula mengacau adik yang duduk di sebelah. Belum puas dengan itu, saya mencuit dan menggelitik adik sambil ketawa. Adik mengadu pada emak. Emak menaikan suara dan memarahi saya. Saya akur dan menyambung bacaan. Saya belum puas. Tindakan tadi saya ulangi sehinggakan bacaan saya tergendala. Saya terus mengganggu adik tanpa menghiraukan emak yang menanti bacaan saya untuk dihabiskan. Teguran emak saya abaikan
.
Masa berlalu melebihi 30 minit. Saya masih belum menghabiskan bacan al-Quran walau satu muka surat. Emak kelihatan tertekan. Saya yakin, malam tersebut adalah malam yang memenatkan baginya. Seorang wanita yang berkerjaya pada siang hari sebagai seorang guru, melayan karenah anak murid sudah cukup melelahkan. Sebelah petang menyiapkan makan malam untuk kami sekeluarga. Malam pula mendidik kami. Itu adalah satu kitaran harian yang memerlukan kesabaran.

Berhadapan karenah saya dalam keadaan fizikal yang keletihan sememangnya memberi tekanan. Kemarahan emak sampai ke puncak. Emak mencapai rotan abah lalu melibas saya yang sedang seronak bermain. Rasa pedih hinggap di belakang badan. Teresak-esak saya menangis menahan kesakitan. Jarang sekali emak menggunakan rotan abah untuk mengajar kami. Tapi tindakan emak merotan saya pada malam tersebut memberi gambaran bahawa tindakan saya sudah keterlaluan.

Emak menangis sebaik merotan saya. Saya tahu bahawa emak bukanlah seorang yang suka-suka menggunakan kekerasan dalam mendidik anaknya. Sememangnya tindakan merotan saya juga adalah diluar kesanggupannya. Sikap lembut dan penyayang lebih kerap mendominasi dirinya. Namun pada malam tersebut emak telah melakukan sesuatu diluar peribadinya demi mendidik dan mendisiplinkan saya.

Sayup-sayup dalam tangisan emak berkata bahawa dia tidak suka merotan anaknya. Tetapi tindakan saya telah keterlaluan. Rasa pedih bekas dirotan masih terasa berdenyut. Tangisan saya masih belum berhenti. Emak menghulurkan minyak gamat untuk disapu pada bekas libasan. Lumrah seorang ibu tidak sanggup melihat anaknya dalam kesakitn. Kejadian itu telah menyerlahkan sikap kasih dan sayang seorang individu yang saya gelar emak.



Malam tersebut menjadi pengajaran bagi saya. Cukup besar pengorbanan emak dalam mendidik kami adik beradik. Kesabaran dan doa darinya telah banyak mengajar saya untuk menjadi seorang individu yang lebih baik. Rasa syukur terbit disanubari atas kurniaan seorang ibu seperti emak. Kasihnya yang tidak berbelah bagi membuatkan saya sentiasa berasa disayangi. Namun mengapa sebagai seorang anak, kita jarang menyedarinya? Apakah ada ganti bagi pengorbanan yang telah dicurahkan? Jawabnya tiada. Yang hanya mampu saya lakukan adalah mengungkap TERIMA KASIH MAK, SAYANG MAK!.

Coretan khas buat bonda tercinta,
Jamilah Binti Idris,
Sempena ulangtahun ke 51,
Pada 17 November 2012.
SELAMAT HARI LAHIR.

No comments:

Post a Comment