Tuesday, May 18, 2010

Perindu Subuh


Tiap kali azan subuh berkumandang, rasa sayu terbit di hati. Maka terdetik satu soalan yang sukar dijawab, mengapakah cukup sukar untuk kita dengari seruan ini? Apakah erti seruan ini? Inilah tanda permulaan hari yang baik bagi hamba-hamba yang bergelar Muslim.

Teringat saya akan satu kejadian di satu subuh. Seperti biasa saya disibukkan dengan kerja-kerja di studio sehingga tidak sempat tidur di malam hari. Sehinggalah azan subuh berkumandang, mengingatkan kami akan masa untuk bertemu Ilahi. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk berjemaah di masjid yang terletak kira-kira 300 meter dari kuliyyah.

Selesai menunaikan ibadat solat, saya bergegas kembali ke studio. Sebaik melangkah keluar dari masjid, saya terserampak seorang lelaki dewasa bersama beberapa orang anak kecil. Umurnya sekitar tiga puluhan. Maka dia menyapa saya untuk bertanya sesuatu, “Salam dik, solat Subuh berjemaah di masjid dah selesai ke?”. “Baru je cik.”jawab saya ringkas. Maka dibalasnya, “rugilah kita pagi ni tak sempat berjemaah bersama-sama di masjid,”. Lalu dia bergegas ke masjid bersama anak-anaknya.

Saya termenung seketika memikirkan kata-kata lelaki tadi. Jauh dalam sudut hati ini rasa cukup kagum dengan sikap lelaki tersebut. Beliau berusaha sebaik mungkin untuk mengerjakan subuh di masjid. Malah apa yang menarik, diajak anak-anaknya bersama ke masjid walaupun anak-anaknya masih kecil. Mungkin ini satu kaedah untuk membudayakan amalan ke masjid terutamanya dalam menunaikan solat subuh.

Saya cukup yakin, permulaan hari yang baik mampu dinilai melalui subuh kita. Urusan-urusan seharaian akan dipermudahkan jika kita memulakan hari dengan solat subuh diawal waktu secara berjemaah. Tambahan pula, jika aktiviti selepas subuh diisi sebaik mungkin, ia akan membuka pintu rezeki bagi hamba-hamba yang soleh.

Melihat konteks masyarakat Islam hari ini, cukup sedih apabila rata-ratanya bagai dijajah pemikiran oleh kuasa barat. Apakah tiada jalan untuk menyelesaikan permasalahan ini? Nah, subuhlah jawapannya. Subuhlah yang menentukan kecemerlangan umat Islam. Malah, puak Yahudi pernah berkata, kami akan gentar kepada orang Islam sekiranya jumlah mereka yang menunaikan solat Subuh sama seperti jumlah yang menunaikan solat Jumaat. Apakah hal ini agak mustahil untuk berlaku?

Tatkala ada yang mengatakan dirinya memang cukup sukar untuk bangun awal di Subuh hari. Maka, persoalan yang timbul sejauh manakah kita ingin mendapatkan Subuh? Sejauh manakah kita rindu akan subuh? Jika kita benar-benar rindu akan subuh pasti ada kesungguhan untuk memperolehinya. Jadikanlah solat subuh berjemaah di awal waktu sebagai amalan selama 40 hari, pasti untuk hari-hari yang seterunya ia akan menjadi kebiasaan diri.

Untuk itu, hadirkanlah rasa rindu dalam diri ini untuk bertemu subuh. Saya pasti, subuh yang baik adalah jaminan untuk permulaan hari yang baik. Dari situlah turunnya rezeki sebagai tanda rahmat dari Ilahi. Malah Subuh juga adalah sumber kekuatan umat Islam dalam berhadapan mehnah dan tribulasi ummat pada hari ini. Maka, tetapkanlah azam untuk bertemu Subuh. Kerana itulah harapan bagi seseorang yang bergelar Perindu Subuh.