Wednesday, June 5, 2013

KEISTIMEWAAN SIRAH RASULULLAH DAN KEWAJIPAN MENEKUNINYA



Mengapa kita mempelajari Sirah? Ramai yang beranggapan Sirah Nabawi tidak lebih dari satu penceritaan sejarah Islam yang menampilkan iktibar disebalik setiap kisah yang ada.  Ini merupakan satu anggapan yang kurang tepat. Natijahnya, kita hanya memahami sirah sekadar sebagai satu pengetahuan umum dan tidak lebih daripada mengingati tarikh, tokoh yang terlibat dan peristiwa yang berlaku.

Hakikatnya, memahami Sirah Rasulullah  mampu membina pemahaman tentang cara hidup sebenar seorang muslim. Ini kerana kehidupan Rasulullah adalah adunan model kehidupan seorang Muslim yang sempurna. Perkara ini mampu dicapai dengan memahami secara benar akan segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu. Jadi, sedarilah bahawa dalam usaha untuk memhami Islam itu seharusnya bermula dari memahami Sirah Rasulullah. Disebalik penceritaan riwayat hidup baginda pula mengandungi garis panduan dan cara hidup Muslim yang seharusnya diikuti.

Lantas, mari kita renungkan, apakah kepentingan mendalami riwayat kehidupan Nabi Muhammad SAW?

Harus difahami bahawa Nabi Muhammad juga merupakan manusia biasa seperti kita. Namun baginda diangkat oleh Allah bagi memikul tugasan nubuwah. Begitu juga dengan kehidupan kita hari ini. Kita adalah seorang manusia biasa yang diangkat Allah dengan amanah hamba dan khalifah. Rasulullah menampilkan sebaik-baik contoh manusia di muka bumi.  Bukanlah satu perkara yang mustahil untuk kita mengikuti jejak langkah baginda. Jadi, menjadi kemestian kepada kita meneladani baginda dalam segenap aspek bagi menjamin kehidupan yang harmoni.

Kehidupan Nabi Muhammad menampilkan sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat  terutamanya metodologi dan proses melakukan dakwah. Aktivis dakwah seharusnya menjadikan panduan atas kaedah dan peranan yang dimainkan oleh Rasulullah dalam menjayakan agenda dakwah.

Kupasan tentang kehidupan Nabi Muhammad membantu kita memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Quran. Banyak kandungan Al-Quran yang dikupas melalui peristiwa yang melatari kehidupan nabi sendiri. Sirah menjadi jambatan kepada pemahaman Al-Quran. Ringkasnya, peristiwa Sirah merupakan satu penjelaskan ayat Al-Quran.

Melalui Sirah terkandungnya perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam. Kehidupan nabi telah menjelaskan cabang-cabang Islam seperti aqidah, hukum hakam, tatasusila dan sebagainya. Prinsip dan hukum Islam digambarkan dengan jelas melalui riwayat hidup Rasulullah. Oleh itu, pengusaan ilmu berkaitan cabang-cabang Islam mampu dicapai dengan penguasaan ilmu Sirah.


Pernahkah anda terfikir, apakah yang membezakan penceritaan sejarah Islam dengan penceritaan sejarah yang lain? Sejarah Islam yang bertitik tolak menampilkan biografi insan mulia yang bernama Muhammad ini mengetengahkan pelbagai ciri-ciri istimewa. Ciri-ciri ini meneguhkan lagi kebenaran dan kesahihan perkembangan Islam itu sendiri.

Pertama, kebenaran sejarah Nabi Muhammad adalah yang paling tepat berbanding tokoh yang lain. Ini dibuktikan melalui jalur ilmiah yang pasti dan dipercayai. Periwayatan dan penceritaan kisah hidup Nabi Muhammad dijamin kesahihannya. Ini dikukuhkan lagi dengan method periwayatan hadith melalui sistem bersanad dengan memastikan mereka yang merawi hadith adalah dari golongan yang thiqoh.

Kedua, sejarah hidup Nabi adalah jelas. Latar dalam fasa kehidupan Nabi ditampilkan dengan terperinci. Sebagai contoh, latar belakang Nabi dihuraikan dengan mendalam dan tepat bermula dari perkahwinan ibubapanya sehingga baginda wafat.

Ketiga, sejarah Nabi adalah mengenai lukisan sejarah seorang manusia biasa yang mendapat keistimewaan kerasulan tanpa terkeluar nilai kemanusiaan ke atas diri baginda. Malah ia mencakup semua aspek kehidupan manusia yang boleh dicontohi. Dan yang terakhir, sejarah Nabi Muhammad yang lengkap membuktikan kebenaran risalah dan kerasulan baginda.

Ringkasnya, Sirah Rasulullah merupakan sebuah penceritaan yang dipelihara kesahihanya. Ia bukan sekadar menampilkan kehebatan seorang insan bernama Muhammad, malah mempelajari sejarah hidup baginda adalah memahami selok-belok kehidupan dalam semua sudut kemanusian.