Monday, January 30, 2012

CINTA YANG HILANG


Kehidupan berlalu dengan pantas. Antara sedar mahupun tidak, usia saya telah menjangkau 24 tahun. Satu perkara yang menarik berkenaan usia di pertengahan 20-an ini adalah persoalan tentang kehidupan. Dengan kata lain persoalan kehidupan ini merujuk kepada pasangan hidup. Ya, ini adalah soalan kegemaran masyarakat sekeliling apabila bertemu saya.

‘Sudah ada pasangan?’

‘Bila hendak kahwin?’

Terkekeh-kekeh saya gelak kecil apabila ditanyakan soalan seperti itu. Tiada jawapan yang tepat untuk saya jawab melainkan ‘tidak ada’ dan ‘kalau ada jodoh’. Pada perkiraan saya ini adalah jawapan paling ringkas dan tepat. Teringat akan kata-kata seorang ibu saudara di majlis walimah abang saya. Ya, perkara yang sama ditujukan, ‘Lepas ini giliran Im pula untuk buat walimah. Bila lagi?’ sekali lagi saya tersenyum lebar tanpa mengeluarkan kata-kata.

Di dalam hati tertanya-tanya, apakah selepas perkahwinan anak yang sulung harus disusuli dengan anak yang ke dua? Kenapa bukan anak ke tiga atau ke empat? Siapa yang akan menjadi pasangan hidup diri ini kelak? Apakah sebenarnya perancangan kehidupan saya? Dan bermacam-macam lagi. Semuanya ligat bermain di fikiran saya.

Bukanlah niat di dalam diri ini tidak mahu memikirkan hal berkenaan membina kehidupan berkeluarga. Tetapi semacam ada satu perasaan takut. Takut jika terlalu memikirkannya akan melekakan perkerjaan harian saya. Seorang sahabat memberi nasihat kepada adik saya. Katanya, ‘Kalau kamu mahu berkahwin, kahwin sahaja. Tidak perlu tunggu abang kamu ini kahwin dulu. Takut-takut kamu tidak kahwin nanti.’ Saya faham, ini merupakan sindiran dari seorang sahabat yang akrab yang cukup faham dengan sikap saya yang acuh tidak acuh berkenaan dengan isu mencari pasangan hidup.

Terus terang saya katakan, persoalan-persoalan seperti ini sememangnya memberi tekanan kepada diri. Soalan tersebut bagaikan desakan kepada saya untuk mendirikan kehidupan berkeluarga dengan segera. Sememangnya sifat berkenan atau berkemahuan untuk memiliki wanita yang baik itu ada. Namun tiada kekuatan dan keyakinan bagi memikirkan lebih lanjut tentang perkara ini.

Semua ini berpunca daripada perasaan risau dalam diri. Lantas soalan-soalan berkaitan pasangan hidup terus berlegar dalam pemikiran. Apakah saya sudah cukup bersedia? Apakah wanita itu baik bagi saya? Apakah wanita itu boleh menerima saya? Dan kadang kala pemikiran infeariti mengusai diri. Saya tidak layak bagi dia. Saya tidak baik bagi dia. Dia seorang yang solehah sedangkan saya tidak. Akhirnya pemikiran-pemikiran seperti ini mematikan hasrat hati untuk memikirkan soal pasangan hidup.

Saat itu ada sesuatu yang memukul diri saya untuk berfikir dengan lebih mendalam. Saya merasakan ada ruang vakum yang harus diisi. Iaitu ruang cinta yang hilang. Sebuah cinta yang telah lama tidak saya temukan…

Sekiranya kita cinta kepada manusia, tak semestinya manusia cinta kepada kita, tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.

Sekiranya kita cinta kepada manusia, kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang yang kita cintai, tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah, kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah, andainya dia ialah jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepada ku, maka campakkanlah dalam hatiku cinta kepadanya adalah kerana-Mu, dan campakkanlah dalam hatinya, cinta kepadaku adalah kerana-Mu. Namun, andainya dia bukanlah jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku, berikanlahku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi ujian, yang kau berikan kepadaku.

Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu, agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku kepada-Mu.

Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada-Mu. Ya Rabbul Izaati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid si jalan-Mu. Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindui syurga-Mu. Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan ini melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu.

Ya Allah, jika engkau halalkan aku merindui kekasih-Mu, janganlah biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada mati hanya sekali, jadikannya pada jalan Allah.

-Aminah Qutb-

Moga kita berhasil menemukan cinta yang hilang…