Thursday, March 5, 2009

Usah Dikenang Hari Muda Yang Jahat


"Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah tenggelam"
-Imam Ibnu Wardi-

Jangan kau suka mengingati babak-babak kebodohan dan segala tindakan yang kurang wajar yang engkau lakukan di masa mudamu. Biarlah hari-hari itu berlalu dan tak perlu diingati lagi, kerana mengingatinya akan menimbulkan rasa bodoh dan kembali kepada alam kanak-kanak. Sebaliknya, hendaklah kamu merancang untuk masa depan yang lebih cemerlang dan teratur.

Tuesday, March 3, 2009

MENCARI RUANG CEMERLANG



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang....

Saat ini aku termenung sejenak memikirkan hal-hal silam. Aku seringkali tertanya-tanya bagaimanakah perasaan menjadi seorang yang cemerlang? Ya, barangkali persoalan ini timbul apabila terkenang akan sahabat-sahabat di bangku sekolah dahulu. Sejenak perkenalan itu, mereka tampil sebagai insan yang berjiwa besar, mempunyai cita-cita yang tinggi dan sememangnya cemerlang dalam akademik. Terasa rendah diri apabila mengenangkan keadaan diri ini yang jahil sewaktu itu.

Kini aku mula membuat kira-kira, di manakah meraka semua berada. Barangkali ada di antara mereka yang begitu hebat dalam mengejar cita-cita di menara gading. Tidak kurang juga memberi penglibatan aktif dalam persatuan. Aku terasa diri ini kerdil. Siapalah aku jika dibandingkan dengan mereka. Terdetik perasaan rindu untuk bersua muka. Namun perasaan malu masih menebal. Adakah mereka bersedia untuk menerima aku? Sekali lagi timbul persoalan yang sama, mengapakah aku begitu jahil satu ketika dahulu?

Teringat sebuah analogi yang dibawa oleh seorang sahabat. Mengenai sekeping roti. Roti tersebut telah disapu jem. Sememangnya sedap untuk dimakan. Namun seandainya roti itu terjatuh di atas tanah dan berlumur dengan pasir, siapakah yang bersedia untuk jadikan roti tersebut sebagai juadah santapan? Walhal jika kotoran-kotoran di atas roti telah dibersihkan, mana mungkin ada individu yang sanggup menjamah roti tersebut. Itulah ibarat bagi mereka yang pernah melakukan kesalahan atas kejahilan. Wah, begitu hebat hukuman ke atas mereka yang jahil.

Pernah sekali-sekala aku meninjau blog sahabat lain. Aku cuba mencari ruang untuk mendapatkan perkembangan meraka. Ditakdirkan Allah aku telah menemukan sebuah blog yang aku cukup kenal empunyanya. Blog tersebut milik seorang ustaz yang juga merupakan seorang warden di sekolah kami. Secara ringkasnya boleh aku katakan beliau merupakan seorng pendidik yang cukup dedikasi dalam menjalankan tugas sebagai guru. Malah keprihatinan beliau telah memberi peluang kepada pelajar untuk lebih rapat dengannya.

Aku mula meneliti blognya. Aku cukup tertarik dengan artikel yang baru sahaja beliau kirimkan. Artikel tersebut bertajuk ‘Manafaatkan Hidup Kita’. Dikirimkan pada 1 Mac yang lalu. Ringkasnya artikel tersebut menceritakan sedikit sebanyak tentang keadaan semasa sahabat-sahabat satu persekolahan. Walaupun artikel tersebut sedikit ringkas, aku dapat meneka apa yang cuba disampaikan oleh ustaz. Ia banyak menekankan erti dalam memanfaatkan hidup sebagai seorang pemuda. Ya,sememangnya pembentukkan jati diri yang terbina sejak di bangku sekolah telah menjadi elemen terpenting yang akan membuka jalan dalam pencarian makna hidup sebagai seorang hamba dan khalifah. Dan pencarian ini akan mencapai tahap terhebat apabila seseorang itu dalam usia pemuda. Aku cukup yakin, inilah kualiti yang telah dicapai oleh sahabat-sahabat sepersekolahan.

Tatkala hati menjadi sayu, cukup sayu. Mengenangkan kegagalan aku dalam pembentukan diri sewaktu di bangku sekolah. Wajah sahabat-sahabat dan guru menghantui aku. Seringkali aku membayangkan mereka ketawa memperlekehkan aku atas kejahilan yang pernah dilakukan. Saat ini aku rasakan seperti hanya ada jalan buntu di hadapan. Adakah cemerlang untuk diriku? Dan jika ada, siapakah yang akan menerima roti yang pernah berlumuran dengan kekotoran? Gelap…namun aku tidak mahu ini sebagai pengakhirannya. Aku terus meraba mencari ruang cemerlang…