Kanak-kanak yang berusia 7 hingga
13 tahun melalui fasa yang menginginkan keseronokan. Bermain dan berkawan
menjadi agenda utama. Tidak hairanlah dalam usia ini kanak-kanak sangat aktif dan ligat. Namun keligatan ini harus
dikawal dengan disiplin. Malah Rasulullah sendiri mengunjurkan untuk mendidik
anak dalam usia ini dengan displin. ‘Dan ajarkan anak-anak kamu bersolat ketika
umurnya 7 tahun dan pukullah mereka jika mereka tidak mahu menunaikan solat
pada ketika umur mereka 10 tahun’.
Dunia kanak-kanak sememangnya
indah. Saya tidak terlepas melalui fasa ini. Tidak dinafikan, dalam tempoh ini
saya cukup aktif dan gemar bermain bersama rakan-rakan sebaya. Jika cuti
sekolah, memang susah untuk lihat saya berada di rumah. Merayau-rayau menjadi
aktiviti utama tanpa mengenal erti penat. Cuaca panas terik mahupun hujan lebat
bukanlah halangan. Yang penting adalah keseronokan bermain.
Sewaktu usia kanak-kanak, perkara
yang paling menakutkan saya adalah abah dan rotannya. Rotan abahlah yang banyak
mendisiplinkan saya dan adik beradik. Jika abah meneriak memanggil kami, laju
sahaja kami menyahut panggilan tersebut. Semuanya gara-gara rasa gerun akan
rotan abah. Pada pengamatan kami Abah cukup garang. Hakikatnya, inilah
ketegasan seorang bapa dalam mendidik anak-anak.
Gaya didikan abah sememangnya
berbeza dengan emak. Emak seorang yang lemah lembut dan penyayang. Kerana itu
sewaktu kecil, emaklah yang menjadi tempat saya mengadu masalah dan bermanja.
Namun, kerap kali kelembutan emak ini disalah erti oleh saya. Sikap emak yang
lembut dan jarang marah menyebabkan saya naik kepala. Arahan dari emak selalu
saya lengahkan kerana saya tahu emak tidak akan merotan kami adik-beradik.
Paling kurangpun hanya meninggikan suara.
Namun, harus diingat, kesabaran
manusia ada hadnya. Ketika saya berusia 10 tahun, pernah sekali saya melihat
emak naik angin gara-gara saya malas mengaji. Seperti malam kebiasaan, emak
akan memanggil kami adik beradik untuk mengaji Al-Quran. Mengaji adalah
aktiviti yang kurang saya minati. Entah mengapa sejak kecil saya kurang
cenderung dalam bidang agama.
Malam tersebut abah tiada di
rumah. Barangkali ada aktiviti surau. Ketiadaan abah membebaskan saya dari
penjara disiplin. Malam tersebut tiada orang yang akan memarahi jika saya bermain
sepuas hati. Panggilan emak untuk mengaji pula mengganggu agenda saya untuk
berseronok. Saya mengabaikan panggilan tersebut dan terus bermain.
Seorang demi seorang adik saya
menyelesaikan bacaan. Kini tiba giliran saya. Setelah beberapa kali emak memanggil,
saya dengan berat hati membuka Al-Quran sambil duduk bersila di sebelah emak. Saya
membuka bacaan dengan membaca basmallah dan al-Fatihah. Kemudian menyambung
bacaan pada muka surat yang telah saya selesaikan bacaannya pada malam semalam.
Fikiran saya melayang. Masih belum puas bermain.
Perasan untuk bermain mengusai
diri. Sebaik selesai membaca satu ayat, saya mula mengacau adik yang duduk di
sebelah. Belum puas dengan itu, saya mencuit dan menggelitik adik sambil
ketawa. Adik mengadu pada emak. Emak menaikan suara dan memarahi saya. Saya
akur dan menyambung bacaan. Saya belum puas. Tindakan tadi saya ulangi
sehinggakan bacaan saya tergendala. Saya terus mengganggu adik tanpa
menghiraukan emak yang menanti bacaan saya untuk dihabiskan. Teguran emak saya
abaikan
.
Masa berlalu melebihi 30 minit.
Saya masih belum menghabiskan bacan al-Quran walau satu muka surat. Emak
kelihatan tertekan. Saya yakin, malam tersebut adalah malam yang memenatkan
baginya. Seorang wanita yang berkerjaya pada siang hari sebagai seorang guru,
melayan karenah anak murid sudah cukup melelahkan. Sebelah petang menyiapkan
makan malam untuk kami sekeluarga. Malam pula mendidik kami. Itu adalah satu
kitaran harian yang memerlukan kesabaran.
Berhadapan karenah saya dalam
keadaan fizikal yang keletihan sememangnya memberi tekanan. Kemarahan emak
sampai ke puncak. Emak mencapai rotan abah lalu melibas saya yang sedang
seronak bermain. Rasa pedih hinggap di belakang badan. Teresak-esak saya
menangis menahan kesakitan. Jarang sekali emak menggunakan rotan abah untuk
mengajar kami. Tapi tindakan emak merotan saya pada malam tersebut memberi
gambaran bahawa tindakan saya sudah keterlaluan.
Emak menangis sebaik merotan
saya. Saya tahu bahawa emak bukanlah seorang yang suka-suka menggunakan kekerasan
dalam mendidik anaknya. Sememangnya tindakan merotan saya juga adalah diluar
kesanggupannya. Sikap lembut dan penyayang lebih kerap mendominasi dirinya.
Namun pada malam tersebut emak telah melakukan sesuatu diluar peribadinya demi
mendidik dan mendisiplinkan saya.
Sayup-sayup dalam tangisan emak
berkata bahawa dia tidak suka merotan anaknya. Tetapi tindakan saya telah
keterlaluan. Rasa pedih bekas dirotan masih terasa berdenyut. Tangisan saya
masih belum berhenti. Emak menghulurkan minyak gamat untuk disapu pada bekas
libasan. Lumrah seorang ibu tidak sanggup melihat anaknya dalam kesakitn.
Kejadian itu telah menyerlahkan sikap kasih dan sayang seorang individu yang
saya gelar emak.
Malam tersebut menjadi pengajaran
bagi saya. Cukup besar pengorbanan emak dalam mendidik kami adik beradik.
Kesabaran dan doa darinya telah banyak mengajar saya untuk menjadi seorang
individu yang lebih baik. Rasa syukur terbit disanubari atas kurniaan seorang
ibu seperti emak. Kasihnya yang tidak berbelah bagi membuatkan saya sentiasa
berasa disayangi. Namun mengapa sebagai seorang anak, kita jarang menyedarinya?
Apakah ada ganti bagi pengorbanan yang telah dicurahkan? Jawabnya tiada. Yang hanya
mampu saya lakukan adalah mengungkap “TERIMA KASIH MAK, SAYANG MAK!”.
Coretan khas buat bonda tercinta,
Jamilah Binti Idris,
Sempena ulangtahun ke 51,
Pada 17 November 2012.
SELAMAT HARI LAHIR.