Wednesday, June 5, 2013

KEISTIMEWAAN SIRAH RASULULLAH DAN KEWAJIPAN MENEKUNINYA



Mengapa kita mempelajari Sirah? Ramai yang beranggapan Sirah Nabawi tidak lebih dari satu penceritaan sejarah Islam yang menampilkan iktibar disebalik setiap kisah yang ada.  Ini merupakan satu anggapan yang kurang tepat. Natijahnya, kita hanya memahami sirah sekadar sebagai satu pengetahuan umum dan tidak lebih daripada mengingati tarikh, tokoh yang terlibat dan peristiwa yang berlaku.

Hakikatnya, memahami Sirah Rasulullah  mampu membina pemahaman tentang cara hidup sebenar seorang muslim. Ini kerana kehidupan Rasulullah adalah adunan model kehidupan seorang Muslim yang sempurna. Perkara ini mampu dicapai dengan memahami secara benar akan segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu. Jadi, sedarilah bahawa dalam usaha untuk memhami Islam itu seharusnya bermula dari memahami Sirah Rasulullah. Disebalik penceritaan riwayat hidup baginda pula mengandungi garis panduan dan cara hidup Muslim yang seharusnya diikuti.

Lantas, mari kita renungkan, apakah kepentingan mendalami riwayat kehidupan Nabi Muhammad SAW?

Harus difahami bahawa Nabi Muhammad juga merupakan manusia biasa seperti kita. Namun baginda diangkat oleh Allah bagi memikul tugasan nubuwah. Begitu juga dengan kehidupan kita hari ini. Kita adalah seorang manusia biasa yang diangkat Allah dengan amanah hamba dan khalifah. Rasulullah menampilkan sebaik-baik contoh manusia di muka bumi.  Bukanlah satu perkara yang mustahil untuk kita mengikuti jejak langkah baginda. Jadi, menjadi kemestian kepada kita meneladani baginda dalam segenap aspek bagi menjamin kehidupan yang harmoni.

Kehidupan Nabi Muhammad menampilkan sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat  terutamanya metodologi dan proses melakukan dakwah. Aktivis dakwah seharusnya menjadikan panduan atas kaedah dan peranan yang dimainkan oleh Rasulullah dalam menjayakan agenda dakwah.

Kupasan tentang kehidupan Nabi Muhammad membantu kita memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Quran. Banyak kandungan Al-Quran yang dikupas melalui peristiwa yang melatari kehidupan nabi sendiri. Sirah menjadi jambatan kepada pemahaman Al-Quran. Ringkasnya, peristiwa Sirah merupakan satu penjelaskan ayat Al-Quran.

Melalui Sirah terkandungnya perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam. Kehidupan nabi telah menjelaskan cabang-cabang Islam seperti aqidah, hukum hakam, tatasusila dan sebagainya. Prinsip dan hukum Islam digambarkan dengan jelas melalui riwayat hidup Rasulullah. Oleh itu, pengusaan ilmu berkaitan cabang-cabang Islam mampu dicapai dengan penguasaan ilmu Sirah.


Pernahkah anda terfikir, apakah yang membezakan penceritaan sejarah Islam dengan penceritaan sejarah yang lain? Sejarah Islam yang bertitik tolak menampilkan biografi insan mulia yang bernama Muhammad ini mengetengahkan pelbagai ciri-ciri istimewa. Ciri-ciri ini meneguhkan lagi kebenaran dan kesahihan perkembangan Islam itu sendiri.

Pertama, kebenaran sejarah Nabi Muhammad adalah yang paling tepat berbanding tokoh yang lain. Ini dibuktikan melalui jalur ilmiah yang pasti dan dipercayai. Periwayatan dan penceritaan kisah hidup Nabi Muhammad dijamin kesahihannya. Ini dikukuhkan lagi dengan method periwayatan hadith melalui sistem bersanad dengan memastikan mereka yang merawi hadith adalah dari golongan yang thiqoh.

Kedua, sejarah hidup Nabi adalah jelas. Latar dalam fasa kehidupan Nabi ditampilkan dengan terperinci. Sebagai contoh, latar belakang Nabi dihuraikan dengan mendalam dan tepat bermula dari perkahwinan ibubapanya sehingga baginda wafat.

Ketiga, sejarah Nabi adalah mengenai lukisan sejarah seorang manusia biasa yang mendapat keistimewaan kerasulan tanpa terkeluar nilai kemanusiaan ke atas diri baginda. Malah ia mencakup semua aspek kehidupan manusia yang boleh dicontohi. Dan yang terakhir, sejarah Nabi Muhammad yang lengkap membuktikan kebenaran risalah dan kerasulan baginda.

Ringkasnya, Sirah Rasulullah merupakan sebuah penceritaan yang dipelihara kesahihanya. Ia bukan sekadar menampilkan kehebatan seorang insan bernama Muhammad, malah mempelajari sejarah hidup baginda adalah memahami selok-belok kehidupan dalam semua sudut kemanusian. 

Wednesday, December 26, 2012

KENAPA SELALU MELUPAKAN ALLAH?


You down and out
You just can’t come
You wanna shout
you lost all hope
On your knees, begging please
You turn and pray to find your way

Hey, you make doa Allah’s there
Whoever you are, because he cares
Then you forget to say thank you Allah ,
You forget to say Insyallah
You forget to say Subhanallah
Raise your hands
Alhamdulillah

Let’s flashback, let’s back drive
Towards a time like yours and mine
The story of the three
Who'll long to be
To who be free of their misery

To the one floor he opens the door
Gave him empty of his bounty

Then you forget to say thank you Allah
You forget to say InsyaAllah
You forget to say SubhanaAllah
Raise your hands Alhamdulillah

Can’t you see His promise to you
Can’t you see His promise is true
Hold on to the rope of Allah
Don’t lose hope in Allah
If you remember Allah in prosperity
He’ll not forsake you in adversity
Be mindful of Allah
He’ll guide you to all that His good

Then you forget, to say thank you Allah
You forget to say InsyaAllah
You forget to say SubhanaAllah
Raise your hands, Alhamdulillah

Get down and out
You just can’t go
you wanna shout
you lost all hope
On your knees
begging please
You turn and pray
to find your way

Don’t Forget Allah oleh Farid Sanullah

Saya cukup tersentuh mendengar dendangan lagu ini. Sejenak saya merenung, mengapa manusia ini begitu sombong dengan Sang Pencipta…

Monday, November 26, 2012

ROTAN DAN KASIH EMAK

Kanak-kanak yang berusia 7 hingga 13 tahun melalui fasa yang menginginkan keseronokan. Bermain dan berkawan menjadi agenda utama. Tidak hairanlah dalam usia ini kanak-kanak sangat  aktif dan ligat. Namun keligatan ini harus dikawal dengan disiplin. Malah Rasulullah sendiri mengunjurkan untuk mendidik anak dalam usia ini dengan displin. Dan ajarkan anak-anak kamu bersolat ketika umurnya 7 tahun dan pukullah mereka jika mereka tidak mahu menunaikan solat pada ketika umur mereka 10 tahun.

Dunia kanak-kanak sememangnya indah. Saya tidak terlepas melalui fasa ini. Tidak dinafikan, dalam tempoh ini saya cukup aktif dan gemar bermain bersama rakan-rakan sebaya. Jika cuti sekolah, memang susah untuk lihat saya berada di rumah. Merayau-rayau menjadi aktiviti utama tanpa mengenal erti penat. Cuaca panas terik mahupun hujan lebat bukanlah halangan. Yang penting adalah keseronokan bermain.



Sewaktu usia kanak-kanak, perkara yang paling menakutkan saya adalah abah dan rotannya. Rotan abahlah yang banyak mendisiplinkan saya dan adik beradik. Jika abah meneriak memanggil kami, laju sahaja kami menyahut panggilan tersebut. Semuanya gara-gara rasa gerun akan rotan abah. Pada pengamatan kami Abah cukup garang. Hakikatnya, inilah ketegasan seorang bapa dalam mendidik anak-anak. 

Gaya didikan abah sememangnya berbeza dengan emak. Emak seorang yang lemah lembut dan penyayang. Kerana itu sewaktu kecil, emaklah yang menjadi tempat saya mengadu masalah dan bermanja. Namun, kerap kali kelembutan emak ini disalah erti oleh saya. Sikap emak yang lembut dan jarang marah menyebabkan saya naik kepala. Arahan dari emak selalu saya lengahkan kerana saya tahu emak tidak akan merotan kami adik-beradik. Paling kurangpun hanya meninggikan suara.



Namun, harus diingat, kesabaran manusia ada hadnya. Ketika saya berusia 10 tahun, pernah sekali saya melihat emak naik angin gara-gara saya malas mengaji. Seperti malam kebiasaan, emak akan memanggil kami adik beradik untuk mengaji Al-Quran. Mengaji adalah aktiviti yang kurang saya minati. Entah mengapa sejak kecil saya kurang cenderung dalam bidang agama.

Malam tersebut abah tiada di rumah. Barangkali ada aktiviti surau. Ketiadaan abah membebaskan saya dari penjara disiplin. Malam tersebut tiada orang yang akan memarahi jika saya bermain sepuas hati. Panggilan emak untuk mengaji pula mengganggu agenda saya untuk berseronok. Saya mengabaikan panggilan tersebut dan terus bermain.

Seorang demi seorang adik saya menyelesaikan bacaan. Kini tiba giliran saya. Setelah beberapa kali emak memanggil, saya dengan berat hati membuka Al-Quran sambil duduk bersila di sebelah emak. Saya membuka bacaan dengan membaca basmallah dan al-Fatihah. Kemudian menyambung bacaan pada muka surat yang telah saya selesaikan bacaannya pada malam semalam. Fikiran saya melayang. Masih belum puas bermain.

Perasan untuk bermain mengusai diri. Sebaik selesai membaca satu ayat, saya mula mengacau adik yang duduk di sebelah. Belum puas dengan itu, saya mencuit dan menggelitik adik sambil ketawa. Adik mengadu pada emak. Emak menaikan suara dan memarahi saya. Saya akur dan menyambung bacaan. Saya belum puas. Tindakan tadi saya ulangi sehinggakan bacaan saya tergendala. Saya terus mengganggu adik tanpa menghiraukan emak yang menanti bacaan saya untuk dihabiskan. Teguran emak saya abaikan
.
Masa berlalu melebihi 30 minit. Saya masih belum menghabiskan bacan al-Quran walau satu muka surat. Emak kelihatan tertekan. Saya yakin, malam tersebut adalah malam yang memenatkan baginya. Seorang wanita yang berkerjaya pada siang hari sebagai seorang guru, melayan karenah anak murid sudah cukup melelahkan. Sebelah petang menyiapkan makan malam untuk kami sekeluarga. Malam pula mendidik kami. Itu adalah satu kitaran harian yang memerlukan kesabaran.

Berhadapan karenah saya dalam keadaan fizikal yang keletihan sememangnya memberi tekanan. Kemarahan emak sampai ke puncak. Emak mencapai rotan abah lalu melibas saya yang sedang seronak bermain. Rasa pedih hinggap di belakang badan. Teresak-esak saya menangis menahan kesakitan. Jarang sekali emak menggunakan rotan abah untuk mengajar kami. Tapi tindakan emak merotan saya pada malam tersebut memberi gambaran bahawa tindakan saya sudah keterlaluan.

Emak menangis sebaik merotan saya. Saya tahu bahawa emak bukanlah seorang yang suka-suka menggunakan kekerasan dalam mendidik anaknya. Sememangnya tindakan merotan saya juga adalah diluar kesanggupannya. Sikap lembut dan penyayang lebih kerap mendominasi dirinya. Namun pada malam tersebut emak telah melakukan sesuatu diluar peribadinya demi mendidik dan mendisiplinkan saya.

Sayup-sayup dalam tangisan emak berkata bahawa dia tidak suka merotan anaknya. Tetapi tindakan saya telah keterlaluan. Rasa pedih bekas dirotan masih terasa berdenyut. Tangisan saya masih belum berhenti. Emak menghulurkan minyak gamat untuk disapu pada bekas libasan. Lumrah seorang ibu tidak sanggup melihat anaknya dalam kesakitn. Kejadian itu telah menyerlahkan sikap kasih dan sayang seorang individu yang saya gelar emak.



Malam tersebut menjadi pengajaran bagi saya. Cukup besar pengorbanan emak dalam mendidik kami adik beradik. Kesabaran dan doa darinya telah banyak mengajar saya untuk menjadi seorang individu yang lebih baik. Rasa syukur terbit disanubari atas kurniaan seorang ibu seperti emak. Kasihnya yang tidak berbelah bagi membuatkan saya sentiasa berasa disayangi. Namun mengapa sebagai seorang anak, kita jarang menyedarinya? Apakah ada ganti bagi pengorbanan yang telah dicurahkan? Jawabnya tiada. Yang hanya mampu saya lakukan adalah mengungkap TERIMA KASIH MAK, SAYANG MAK!.

Coretan khas buat bonda tercinta,
Jamilah Binti Idris,
Sempena ulangtahun ke 51,
Pada 17 November 2012.
SELAMAT HARI LAHIR.

Thursday, November 15, 2012

SEDIKIT TAPI BERKAT

Apa yang saya lakukan setelah bergraduasi? Tamat pengajian dengan jayanya, menggenggam erat segulung sijil, apakah menjadi jaminan untuk mendapatkan perkerjaan? Mungkin ya, mungkin tidak. Bergantung kepada kapasiti individu. Lain orang lain kemampuan. Terus terang, bagi saya tidak semestinya. Mungkin saya kurang bernasib baik, tidak berkesempatan berkerja di dalam bidang. Saya terdiam dan terus merenungkan nasib…malang?...tidak mempunyai daya saing dengan graduan yang lain?...lembap?...akhirnya jawapan yang diperolehi adalah, ‘REZEKI ITU DIBAWAH TADBIR ALLAH’.

MENCARI KERJA

Sebaik tamat pengajian, teman sekuliah menawarkan kerja sebagai pembantu arkitek. Bagi saya apa salahnya untuk mencuba. Sesi temuduga berjalan dengan lancar. Saya yakin jawatan yang kosong bakal menjadi milik saya. Namun penantian selama sebulan amat mengecewakan tanpa sebarang maklum balas dari syarikat tersebut. Ini tandanya bahawa permohonan saya ditolak.



Matlamat saya berkerja adalah untuk merangkul sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang mampu dijadikan bekalan untuk melanjutkan pelajaran. Ya, sebaik-baiknya, untuk melanjutkan pelajaran adalah lebih elok jika kita mempunyai pengalaman berkerja. Akhirnya terpaksa saya simpan rapi cita-cita tersebut setelah kegagalan menyandang perkerjaan sebagai pembantu arkitek. Ramai rakan-rakan bertanya, mengapa tidak diusahakan untuk memohon perkerjaan di syarikat yang lain?

Pertama, saya agak cerewet. Sebolehnya saya usahakan untuk memohon syarikat yang dimiliki oleh orang Islam. Malah pemilik syarikat tersebut berpegang kuat kepada Islam. Barangkali ini kaedahnya untuk menjamin rezeki yang halal dan bersih. Kedua, keseronokan dalam menguruskan sebuah NGO, sedikit-sebanyak menyibukkan saya dengan kerja-kerja kemasyarakatan. Lalu melupakan saya untuk memohon perkerjaan dalam bidang.

Tindakan saya ini merisaukan kedua orang tua saya. Mereka cukup berharap agar saya menyambung pengajian sehingga ke tahap tertinggi. Barangkali mereka lebih gemar jika saya menjadi seorang ahli akademik. Sememangnya saya nekad untuk menyambung pengajian. Namun kecintaan saya melakukan tugas kemasyarakatan dan dakwah, menyebabakan saya menangguhkan sementara waktu niat yang telah disemat. 

Setelah hampir enam bulan terlibat kerja-kerja sukarelawan tanpa dibayar sebarang gaji, akhirnya seorang senior NGO tersebut menawarkan untuk berkerja sepenuh masa. Bagi saya ini merupakan satu ruang yang baik dalam berpartisipasi secara optimum dalam kerja-kerja ini.

NIAT YANG HARUS DILURUSKAN

Soalan yang gemar diajukan oleh masyarakat jika membincangkan perihal perkerjaan adalah berkaitan gaji. Bagi masyarakat umum, gaji yang besar merupakan kayu ukur kejayaan hidup. Saya tidak terlepas dari dihujani soalan tentang gaji. Terus terang saya katakan, gaji berkerja sebagai seorang sukarelawan bukanlah banyak. Kebiasaannya kita hanya memperoleh separuh dari apa yang sepatutnya diterima oleh seorang graduan yang ber ijazah.



Memang tidak dinafikan, hari ini duit menjadi alat dalam mencapai sesuatu. Malah taraf hidup di kawasan bandaraya yang tinggi memerlukan seseorang itu bergaji besar bagi menjamin survival hidup. Hari ini, jika seseorang itu bergaji sebanyak RM2000 boleh dianggap miskin jika dia hidup di pusat bandar seperti Kuala Lumpur.

Apakah gaji yang sedikit ini menghalang kita untuk terus hidup? Jawapanya tidak jika kita hidup dalam keadaan yang berpada (qanaah). Yakinlah, jika rezeki itu datang dari sumber yang halal pasti akan ada keberkatan. Teringat sebuah perbualan antara teman-teman sewaktu di kuliah dahulu. Apabila ditanyakan untuk apa menyambung pelajaran? Jawapan mereka cukup mudah, iaitu untuk memperoleh gaji yang lebih besar sewaktu berkerja. Wah, begitu rendah nilaian ilmu hari ini. Mampu dijual beli bagi mengaut keuntungan.

Saya mempunyai teman, yang berkerja di sebuah syarikat swasta yang terkemuka. Gajinya memang setimpal dengan sijil ijazah yang diperolehi. Namun kehidupannya serba kekurangan. Setiap bulan ada sahaja wang yang tidak mencukupi. Bila ditanya dimanakah duit gaji dilaburkan? Tidak lain tidak bukan gaji tersebut digunakan untuk hidup secara bermewah-mewahan. Mewah dari segi makan, mewah pakaian, mewah kenderaan dan mewah segala-galanya. Apa yang lebih menyedihkan tiada wang yang diperuntukkan untuk ibu bapa di kampung. Apakah kita seronok hidup dalam sistem seperti ini?

Bukanlah diri ini ingin merasa selesa hidup seorang diri dengan gaji yang kecil. Sememangnya apabila berumah tangga perbelanjaannya menjadi lebih besar. Seharusnya perlu ada persediaan untuk itu. Namun apa yang membuatkan saya sedih adalah sikap generasi muda yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki. Lantas apa yang dikejar adalah kemewahan yang belum menjamin apa-apa. Bagi memperoleh kemewahan, mereka sanggup menggadaikan segala benda, ilmu, maruah dan prinsip.

Saya juga seringkali terfikir, apakah memperuntukkan setahun dua untuk berkerja sebagai aktivis sosial adalah satu kehinaan? Atau adakah ia satu penderitaan? Barangkali ada yang berpandangan begitu. Ya, siapa mahu berkerja untuk masyarakat yang pelbagai karenah, tanpa had waktu dengan gaji yang rendah. Banyak perkara yang terpaksa digadaikan. 

Kerana itu kita harus jelas akan niat yang dizahirkan keatas sesuatu perkerjaan. Sememangnya perkerjaan yang terbaik adalah perkerjaan yang kita minati. Semangat sukarelawan yang telah tertanam dalam diri saya. Kepenatan dan kekurangan wang menjadi cabaran dalam perjalanan hidup. Namun keghairahan melihat kegembiraan masyarakat menjadi penawar kepada kekurangan. Kerana itu saya yakin apabila niat diluruskan, maka tiada halangan dalam kita berhadapan apapun dugaan.

HADIR IKHLAS DALAM UJIAN

Apakah gaji yang diperolehi mencukupi? Jika dikira dengan logik akal memang tidak cukup. Namun seperti yang saya katakan, dalam mendepani alam perkerjaan harus ada niat yang benar atas apa yang akan dikerjakan. Saya juga tidak menafikan sebahagaian kecukupan ini ditampung oleh keluarga. Namun saya amat berpuas hati akan perbelanjaan harian yang hanya digunakan atas keperluan. Ini merupakan disiplin yang baik dalam mengurus kewangan.

Suka untuk saya berkongsi beberapa pengalaman dalam menguruskan perbelanjaan. Gaji yang sikit bukanlah menjadi masalah yang membataskan saya menggerakkan gerakan dakwah dan kemasyarakatan. Sekurang-kurangnya saya mempunyai sumber kewangan jika dibandingkan dengan adik-adik aktivis yang masih menuntut di menara gading. Kesungguhan mereka telah menambat hati saya untuk sentiasa mendahulukan wang dalam membolehkan mereka bergerak. Saya tidak mahu berkira-kira. Apa salahnya untuk kita membantu mereka yang ingin menggerakkan satu perkerjaan yang baik.



Ajaibnya, saya merasakan duit yang ada dalam simpanan seperti ‘beranak’. Semakin banyak saya keluarkan untuk pergerakan ini semakin tidak luak duit yang ada. Saya berasa cukup hairan dengan situasi ini. Pernah juga satu ketika kehabisan gaji bulanan sebelum gaji bulan hadapan masuk. Saat itu, walaupun saya kehabisan wang, namun ada sahaja rezeki yang datang. Elaun, kawan membayar hutang, tidak kurang juga makan percuma seperti jamuan pejabat atau individu tertentu belanja saya makan. Ya, rezeki itu tidak putus-putus.

Memang benar, hal duit ini kerap kali memeningkan kepala. Mahu pula jika kita ditimpa kemalangan, kereta rosak atau keluarga sakit. Saat itu kita kematian akal memikirkan dari mana wang mampu diperolehi. Hakikatnya hal ini adalah ujian dari Allah. Saya cukup risau tatkala diuji, gagal meletakkan kebergantungan kepada Allah. Jika pengharapan itu diletakkan pada tempat yang betul pasti Allah akan memudahkan urusan kita. Dari situ lahirnya keyakinan dan sudah tentu kehidupan ini akan lebih terarah. Keyakinan kitalah yang akan membuka bibit-bibit penyelesaian kepada masalah. Ya, Allah yang menurunkan masalah kepada kita, dan sudah tentu dari Allah penyelesaian itu hadir. Ikhlaslah apabila diuji, dan pertolongan Allah pasti akan tiba!

ALLAH YANG MENENTUKAN REZEKI

Hakikat rezeki itu datang dari Allah. Rezeki tidak hadir dalam bentuk mata wang sahaja. Barangkali ia hadir dalam bentuk kebahagiaan hidup, kesihatan, atau urusan yang sentiasa dipermudahkan. Usaha pula adalah jalan dalam meraih rezeki. Usaha tidak terletak kepada tindakan berkerja untuk mendapatkan wang. Usaha juga harus dilakukan melalui ibadat. Usah mudah berputus asa dalam bermunajat mahupun berdoa. Ibadat seperti solat Dhuha harus dilakukan secara istiqomah. Kerana melalui ibadat menggambarkan dekatnya hubungan seorang hamba dan Tuhannya. Dekat ini menghadirkan cinta. Dan orang yang dicintai akan sentiasa memperoleh manfaat.

Setiap rezeki yang diturunkan Allah kepada kita adalah menurut apa yang terbaik bagi kita. Yang lebih penting adalah yakin dan percaya bahawa Allahlah yang memberikan kecukupan. Oleh itu, setiap apa yang dikerjakan biarlah di bawah ketentuan Allah. Janganlah kita menjadi seorang yang sombong sehinggakan menentukan nasib kita sendiri.  Tanamkanlah dalam diri ini bahawa kepadaNyalah kita berusaha dan kepadaNyalah kita berserah. Kemewahan tidak menjanjikan kesenangan. Kesenangan hadir dalam keberkatan. Jadi, kejarlah keberkatan walaupun sedikit.

Monday, July 2, 2012

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH : CERMINAN PEMUDA BITARA


“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.” Begitulah sabda Rasulullah S.A.W. yang menyatakan perihal Sultan Muhammad Al-Fateh ratusan tahun sebelum kelahiran beliau. Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinopel telah membenarkan kata-kata Rasulullah lantas membawa gambaran kehebatan kepimpinanya saat itu. Perkara yang lebih menarik mengenai perihal pemimpin dan pasukan yang terbaik dalam sejarah ketamadunan Islam ini telah melihat akan kebolehan Sultan Muhammad Al-Fateh menjayakan sebuah misi besar seawal usia 21 tahun. Lantas peristiwa ini membuktikan kehebatan generasi muda.


Generasi muda mencerminkan kekuatan dan kemampuan. Dalam tempoh ini jiwa-jiwa mereka berkobar-kobar dan hangat dalam melakukan sesuatu tugas. Sememangnya pada usia pertengahan membawakan sesuatu yang istimewa. Sultan Muhammad Al-Fateh seharusnya dijadikan contoh pemuda tauladan dengan menampilkan ciri-ciri kebitaraan. Pemuda bitara merujuk kepada sifat-sifat yang tiada tandingannya. Dalam kontek yang lain pemuda bitara juga merujuk kepada pemuda yang unggul. Lantas pemuda bitara menampilkan empat ciri yang istimewa iaitu beridealisme, tinggi nilai intelektual, mempunyai aktivisme dan spiritualisme yang mantap. 


Idealisme merujuk kepada sifat mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Idealisme terbentuk apabila sesorang individu itu berhasrat akan sesuatu yang unggul. Hal ini jelas ditampilkan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh yang bercita-cita untuk menawan kota konstantinopel. Lantas, penawanan kota tersebut telah menzahirkan kata-kata Rasulullah. Inilah nilai yang terbesar yang menjadi impian dan azimat kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh. Menjadi pemimpin terhebat dengan kekuatan pasukan yang terhebat di sepanjang ketamadunan Islam sememangnya menjadi cita-cita bagi setiap pemimpin. 

Hakikatnya, kualiti idealism yang terbentuk dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh adalah hasil daripada didikan bapanya Sultan Murad. Kesungguhan Sultan Murad mendidik anaknya telah ditonjolkan dengan penanaman benih inspirasi dan imiginasi. Hal ini dibuktikan apabila Sultan Murad memanggil anaknya dengan nama timangan Al-Fateh yang bermaksud Si Pembuka sejak kecil. Justeru, panggilan ini telah sebati dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh lalu membentuk sebuah cita-cita dalam diri beliau. 

Intelektualisme bermaksud pengabdian diri kepada penggunaan intelek atau daya fikir. Seseorang individu yang mempunyai daya intelek yang tinggi adalah mereka yang berkemampuan memahami makna sesuatu perkara, mempunyai daya fikir dengan logik, mampu membuat pertimbangan dengan teliti juga mengangkat nilai keadilan dan saksama. Pendidikan yang baik telah diberikan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dalam segala cabang ilmu. Hal ini telah dibuktikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh  melalui penguasaan ilmu dalam bidang sejarah, bahasa, geografi, astronomi dan matematik. Usaha untuk menawan Konstatinopel memerlukan sebuah strategi yang cukup sempurna. Melalui cabang ilmu yang telah dikuasai, diaplikasikan dalam membentuk strategi perang yang hebat. 



Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji sejarah dengan menilai dan menganalisis punca lebih 10 kali kegagalan percubaan umat Islam menawan Konsantinopel.  Pengusaan lebih 7 bahasa telah memberi kelebihan kepadanya dalam mebina hubungan diplomasi dengan kerajaan lain, lantas menjamin keselamatan kerajaan Islam daripada diserang sepanjang pengepungan Konstantinopel. Pada usia 14 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh telah diamanahkan bapanya untuk memimpin kerajaan Uhmaniyyah. Secara tidak langsung, ilmu kepimpinan telah diberikan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh pada usia remaja. Atas kesedaran tentang kepentingan penguasaan teknologi, Sultam Muhammad Al-Fateh telah mengupah tenga pakar dari Hungary bagi menghasilkan sebuah senjata perang yang terhebat pada zaman tersebut iaitu sebuah meriam yang dikenali sebagai Meriam Urban.

Aktivisme merupakan amalan melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan atau perjuangan secara aktif. Mengambil iktibar melalui kampen peperangan menawan kota konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengangkat nilai ini dengan meletakkan tanggungjawab ke atas segala aspek persiapan dan terlibat secara langsung dengan peperangan tersebut. Sebagai contoh, beliau sendiri telah membuat penyamaran menyelinap masuk ke Kota Konstantinopel bagi mengkaji struktur  dan bentuk geografi kota tersebut. Malah, Sultan Muhammad Al-Fateh juga terlibat secara tidak langsung dengan beberapa peperangan kecil. 



Tatkala berlaku serangan laut antara armada tentera Uthmaniah dengan armada Kristian, Sultan Muhammad Al-Fateh dengan bersungguh-sungguh memberikan semangat dengan berteriak di persisiran pantai. Inilah gambaran seorang pemimpin yang hebat atas sifat tanggungjawab dan rasa kepentingan untuk turun padang bagi menjayakan matlamat. Seringkali beliau menyusuri penempatan penduduk Konstantinopel bagi mendengar sendiri permasalahan dan rintihan rakyat setelah penawanan kota tersebut. Jelas sekali, beliau telah meletakkan taraf status yang sama seperti rakyat biasa lantas mengetepikan status sosial bagi menjalankan gerakan bakti kepada masyarakat.


Spiritualisme bermaksud sesuatu amalan yang bersifat kerohanian. Aqidah yang benar adalah kunci kepada spiritualisme. Ia diikuti dengan konsistensi dalam beramal. Spiritualisme meletakkan individu dekat dengan Sang Pencipta, malah sentiasa di bawah pengawasanNya. Kepemudaan Al-Fateh mencerminkan nilai spiritualisme yang tinggi. Seawal usia baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat Tahajjut, solat Sunat Rawatib apatah lagi solat fardhu. Malah kemampuan beliau menanamkan nilai ini dalam jiwa-jiwa pengikutnya harus diteladani. Rakyat yang tinggi amalan kerohanian sahaja dipilih sebagai tentera. Ini menjadi titik tolak kepada terbentuknya barisan tentera yang berdaya tahan tinggi dan berkemampuan meraih kemenangan.  Setiap malam, sepanjang kempen penawanan Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh telah memantau khemah-khemah tenteranya bagi memastikan setiap dari mereka menghidupkan malam dengan amalan kerohanian. 

Sultan Muhammad Al-Fateh juga sentiasa berdamping dengan ulama’, malah beliau mengangkat mereka sebagai guru. Para ulama’ juga dijadikan sumber rujuk dalam memastikan dirinya sentiasa berada dalam landasan yang benar. Tambahan, golongan ulama’ seperti Syeikh Aq Syamsudin dan Syeikh Ahmad Ismail Al-Kurani sentiasa tegar memberikan rangsangan bagi menjayakan misi merealisasikan hadis Nabi Muhammad S.A.W. Spiritualisme telah meletakkan seseorang individu itu kepada pergantungan terus kepada Allah Taala. Melalui kebergantungan ini lahirlah keyakinan dan kesabaran dalam mendepani pelbagai masalah. Malah spiritualisme mampu mengangkat motivasi individu. Ia dilihat sebagai satu kuasa dalaman yang mampu meledakkan kesan yang luar biasa jika dizahirkan.


Secara umumnya, ciri-ciri kebitaraan yang telah ditampilkan sepanjang kepemudaan Sultan Muhammad Al-Fateh harus diteladani. Malah, kehebatan beliau telah meresap ke dalam jiwa-jiwa segenap individu di sekeliling lantas membentuk masyarakat yang unggul. Oleh itu, usia muda ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebolehnya seseorang pemuda ini mempunyai cita-cita yang tinggi, mengangkat nilaian ilmu, sentiasa berdamping dengan masyarakat malah mempunyai ketakwaan yang utuh. Inilah gambaran terbaik yang harus ditanamkan dalam jiwa-jiwa pemuda hari ini.