Telah lama sesawang ini tidak kemaskan dengan sebarang penulisan. Hambar, malah boleh diibaratkan usang. Tiada lagi idea-idea bernas yang menghidupkan sesawang ini. Tiada lagi cerita-cerita menarik yang dikongsi di sini. Sememangnya sesawang ini semakin bersawang. Mengapa? Barangkali kehadiran laman sosial Facebook telah mengambil tempat populariti sesawang ini.. barangkali juga sikap penulis yang tidak konsisten memuat turun sebarang bentuk penulisan merencatkan pekembangan fungsi sesawang ini. Apakah nasib sesawang ini. Kelihatanya semakin usang.
Seharusnya masih ada tempat bagi sesawang ini. Budaya menulis harus dihidupkan. Kerana dari situ terkandungnya cara berfikir si penulis. Malah, melalui penulisan juga mampu menghadirkan pembacaan. Apakah nilaian seperti ini yang diketengahkan oleh sesawang ini tidak lagi releven untuk memenuhi kehendak pengguna hari ini? Maka buangkanlah sebarang sawang yang wujud di sesawang ini. Hidupkan budaya membaca, menulis dan berfikir di sini.
Tatkala diri ini duduk keseorangan,mengambil ruang bermuhasabah. Rasa malu hadir atas dosa yang kerap dilakukan. kadang-kadang tertanya-tanya taubat jenis apakah yang telah ku lakukan sedangkan masih diulang dosa yang sama. Apakah masih ada ruang bermain-main dalam ibadah taubat ini? betapa hinanya diri ini tatkala melakukan maksiat namun mengharapkan simpati Allah tanpa rasa kesungguhan dalam bertaubat.
Berkata Yahya bin Muaaz:
"Sebesar-besar penipuan diri ialah bersemadi di dalam pelukan dosa sambil mengharapkan keampunan Allah SWT tanpa menyesali diri dan bertaubat. cuba pula mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa mengerjakan amal taat. menunggu tuaian dan hasil dari syurga, padahal benih yang ditanam adalah benih tanaman api neraka, tempat tinggal orang yang taatmengerjakan maksiat, menunggu balasan baik tanpa berusaha keranaNya. dan akhir sekali berangan-angan kosong terhadap Allah dengan melapaui batas."
Adakah diri ini tergolong dalam golongan tersebut? Di saat kita menyangka diri ini hampir dengan Allah, hakikat apa yang dilakukan adalah kosong tanpa isi. Apa yang lebih dahsyat, apabila diri ini tergelincir dalam golongan bodoh malah sombong. Lantas, ambillah ruang dalam menilai sejauh manakita dalam meletakkan pengharapan kepada Allah SWT. renung-renungkanlah...
Tiap kali azan subuh berkumandang, rasa sayu terbit di hati. Maka terdetik satu soalan yang sukar dijawab, mengapakah cukup sukar untuk kita dengari seruan ini? Apakah erti seruan ini? Inilah tanda permulaan hari yang baik bagi hamba-hamba yang bergelar Muslim.
Teringat saya akan satu kejadian di satu subuh. Seperti biasa saya disibukkan dengan kerja-kerja di studio sehingga tidak sempat tidur di malam hari. Sehinggalah azan subuh berkumandang, mengingatkan kami akan masa untuk bertemu Ilahi. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk berjemaah di masjid yang terletak kira-kira 300 meter dari kuliyyah.
Selesai menunaikan ibadat solat, saya bergegas kembali ke studio. Sebaik melangkah keluar dari masjid, saya terserampak seorang lelaki dewasa bersama beberapa orang anak kecil. Umurnya sekitar tiga puluhan. Maka dia menyapa saya untuk bertanya sesuatu, “Salam dik, solat Subuh berjemaah di masjid dah selesai ke?”. “Baru je cik.”jawab saya ringkas. Maka dibalasnya, “rugilah kita pagi ni tak sempat berjemaah bersama-sama di masjid,”.Lalu dia bergegas ke masjid bersama anak-anaknya.
Saya termenung seketika memikirkan kata-kata lelaki tadi. Jauh dalam sudut hati ini rasa cukup kagum dengan sikap lelaki tersebut. Beliau berusaha sebaik mungkin untuk mengerjakan subuh di masjid. Malah apa yang menarik, diajak anak-anaknya bersama ke masjid walaupun anak-anaknya masih kecil. Mungkin ini satu kaedah untuk membudayakan amalan ke masjid terutamanya dalam menunaikan solat subuh.
Saya cukup yakin, permulaan hari yang baik mampu dinilai melalui subuh kita. Urusan-urusan seharaian akan dipermudahkan jika kita memulakan hari dengan solat subuh diawal waktu secara berjemaah. Tambahan pula, jika aktiviti selepas subuh diisi sebaik mungkin, ia akan membuka pintu rezeki bagi hamba-hamba yang soleh.
Melihat konteks masyarakat Islam hari ini, cukup sedih apabila rata-ratanya bagai dijajah pemikiran oleh kuasa barat. Apakah tiada jalan untuk menyelesaikan permasalahan ini? Nah, subuhlah jawapannya. Subuhlah yang menentukan kecemerlangan umat Islam. Malah, puak Yahudi pernah berkata, kami akan gentar kepada orang Islam sekiranya jumlah mereka yang menunaikan solat Subuh sama seperti jumlah yang menunaikan solat Jumaat. Apakah hal ini agak mustahil untuk berlaku?
Tatkala ada yang mengatakan dirinya memang cukup sukar untuk bangun awal di Subuh hari. Maka, persoalan yang timbul sejauh manakah kita ingin mendapatkan Subuh? Sejauh manakah kita rindu akan subuh? Jika kita benar-benar rindu akan subuh pasti ada kesungguhan untuk memperolehinya. Jadikanlah solat subuh berjemaah di awal waktu sebagai amalan selama 40 hari, pasti untuk hari-hari yang seterunya ia akan menjadi kebiasaan diri.
Untuk itu, hadirkanlah rasa rindu dalam diri ini untuk bertemu subuh. Saya pasti, subuh yang baik adalah jaminan untuk permulaan hari yang baik. Dari situlah turunnya rezeki sebagai tanda rahmat dari Ilahi. Malah Subuh juga adalah sumber kekuatan umat Islam dalam berhadapan mehnah dan tribulasi ummat pada hari ini. Maka, tetapkanlah azam untuk bertemu Subuh. Kerana itulah harapan bagi seseorang yang bergelar Perindu Subuh.
“Encourage your children to explore their talents. Help them to grow....their confidence will be boundless and they will be forever grateful. Developing a skill and the memories it creates for all will last a lifetime....much longer than tangible ‘stuff’ “.
Sebuah pengalaman yang saya kira harus dikongsi, iaitu pengalaman pertama kali naik ke pentas sewaktu usia 7 tahun. Semasa menuntut di sebuah sekolah agama yang terletak di Selayang, saya merupakan seorang pelajar baik dan pendiam. Keadaan ini membuatkan ustazah (guru kelas) merasa senang. Beliau telah melantik saya sebagai penolong ketua darjah. Malah saya seringkali diberi markah yang tinggi dalam peperisaan.
Oleh kerana Hari Kecemerlangan hampir tiba, setiap kelas diminta untuk menghantar seorang wakil untuk menyertai Pertandingan Bacaan doa Iftitah. Pertandingan ini diadakan khas untur pelajar tahun satu. Dalam situasi ini, tidak lain tidak bukan saya menjadi pilihan ustazah untuk mewakili kelas. Saya telah dipanggil ke bilik guru untuk sesi tasmi’ ringkas. Hakikatnya, pada saat itu saya masih belum menghafal doa ini, dan bacaan saya agak tergagap-gagap. Namun ustazah cukup yakin ke atas saya. Saya diberi masa seminggu untuk membuat persiapan sebelum Hari Kecemerlangan berlangsung.
Sebaik sahaja pulang ke rumah, saya memaklumkan hal ini kepada emak. Pada emak ini adalah peluang yang cukup baik. Namun saya tidak yakin pada diri malah takut untuk naik ke pentas. Emak terus memberi dorongan dan semangat. Tambahan pula abang yang setahun lebih tua dari saya membantu dalam usaha melancarkan hafalan. Saya masih ingat saat terakhir persiapan saya. Saya telah membacakan doa itu di hadapan emak dan abah. Ketika itu bacaan sudah elok. Dorongan dan nasihat dari ahli keluarga membuatkan saya yakin dan bersemangat.
Hari yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Hati saya mula gusar. Saya bernasib baik kerana mendapat giliran yang terakhir. Perkara ini sedikit sebanyak member ruang kepada saya untuk menenangkan diri. Abang berpesan supaya saya buat yang terbaik dan pastikan memperolehi kemenangan. Seorang demi seorang peserta selesai mempersembahkan bacaan mereka dengan jayanya. Persembahan mereka yang sempurna menyebabkan saya merasa rendah diri. Akhirnya giliran saya tiba.
Saya naik ke pentas dengan langkahan yang menggeletar. Jantung benar-benar bedegup kencang. Pada saat itu jelas kelihatan audian yang cukup ramai. Semuanya terdiri daripada ibu bapa dan guru yang hadir. Keadaan ini benar-bear menyebabkan saya mati akal. Saya mula terpinga-pinga dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Seharusnya saya sudah bermula mempersembahkan bacaan. Namun satu ayat pun tidak terkeluar dari mulut. Saya tergamam. Mulut terkunci mendiamkan diri. Keadaan sunyi seketika.
Pengerusi majlis (juga merupakan seorang ustazah di sekolah itu) dapat membaca keadaan saya yang panik. Beliau cuba membantu dengan mebisikkan pangkal ayat bagi doa iftitah. Sedikit demi sedikit saya sambung dengan bacaan yang gagap. Perkara ini berterusan sehinggalah saya selesai menghabiskan bacaan. Pada saya situasi di dewan ketika itu cukup menekan. Saya benar-benar tidak yakin dan hilang motivasi. Tatkala melihat wajah-wajah audian yang memberikan senyuman, saya merasakan senyuman itu ibarat gelak tawa yang memperlekehkan saya.
Tamat bacaan, saya bergegas keluar dewan. Langkahan menjadi lemah longlai. Saya tidak mampu mengawal diri. Saat itu air mata berjurai kelur. Saya teresak-esak menangis kesedihan. Saya tahu, saya gagal melakukan persembahan yang terbaik. Saya sedar dengan kesilapan yang dilakukan. Ketika itu abang memarahi saya. Katanya perkara yang sebegitu mudah tidak mampu saya lakukan. Saya yakin persembahan saya adalah yang paling teruk pada hari itu. Mana mungkin untuk saya memperolehi kemenagan. Saya terus menangis di tepi dewan.
Setelah saya meningkat dewasa, saya seringkali ketawa kecil apabila mengimbau peristiwa ini. Ya, pada saat itu saya cukup yakin bahawa saya adalah dari kalangan yang tewas. Tetapi kini saya sedar, hakikatnya tiada istilah tewas dalam diri. Kerana apa yang saya lakukan adalah usaha mengejar kemenangan, bukan duduk bergoyang kaki tanpa berusaha. Mungkin saya kalah tapi tidak mungkin saya gagal. Harus ditanam dalam diri sejak kecil, tidak perlu takut kepada kekalahan. Juga tidak perlu takut untuk membina bakat, kemahiran dan keyakinan.
Butir-butir itu disusun rapi, menjadi satu rantaian lengkap, butir-butir itu 99 jumlahnya, ia mewakili 99 nama Allah, manakala di setiap 33 butir akan diselangkan satu butir khas, sebagai tanda peralihan zikir... Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...
Lafaz-lafaz zikir terucap, tatkala jari-jemari menggerakkan butir-butir tasbih, membawa si penzikir mengembara mendekati si Pencipta...
Pernah saya dihadiahkan satu, melihat butir-butir yang kasar, kata seorang penzikir, gunakannya selalu, bila kita kerap menggerakkannya di hujung jemari ini, pasti satu hari nanti akan terpancar kilauan...
Benar kata si penzikir, butir-butir tasbih yang sering digerakkan, akan kelihatan lebih halus, permukaan yang kasar akan menjadi licin, ia tampak kilat dan besinar, mungkin inilah penilaian bagi mengetahui sejauh mana amalan zikir seseorang... Namun menjadi tanda tanya dalam diri ini, sejauh mana penghayatan seseorang dalam menggerakkan butir-butir tasbih? hadirkah hati ini? jawapannya hati harus hadir, menghayati kebesaran si Pencipta...
Maka, bukanlah satu benda yang berat untuk mebawa tasbih kemana-mana, dan bukanlah satu yang payah untuk menggerakkan butir-butir tasbih, juga bukanlah satu yang sukar untuk menghayati zikir-zikir tasbih...
Entri kali ini ringkas. Sekadar ingin memberi kredit kepada sebuah lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan Ali Empire. Entah tidak pasti kenapa saya cukup tertarik dengan nasyid ini.Barangkali pembawakan rentaknya yang agak segar dan mesej yang ingin disampaikan cukup mendalam. Saya lampirkan sekali lirik nasyid ini untuk tatapan bersama.
Hidup bagaikan kelekatu Terbang gelap malam aku resah Dalam kegelapan Mendamba sinaran cahaya berlimpahan Nyala nyala nyala yang diharap Umpama rembulan penuh keindahan Sayang hanya lampu di jalan Panas bahang lantas terbakar Lalu mati
Hidup ini medan kau beradu Entah untung entah rugi Pujuk nafsu selalu menipu Kadang hati kadang tak pasti Gagal mentafsir makna Itu ujian ataupun musibah
Hidup bagaikan kelekatu Terbang gelap malam aku resah Dalam kegelapan Mendamba sinaran cahaya berlimpahan Cari cari cari yang diharap Umpama rembulan penuh keindahan Sayang hanya lampu di jalan Panas bahang lantas terbakar Lalu mati
Tandus rasa hilang hidayahnya Sepi dari titis rahmat
Layu hati dihembus pawana Tinggal hanya kalbu yang usang Kosong tiada sinaran iman di jiwamu Pudar samar bintang bulan mula timbul Hancurlah runtuhlah segala angan indah Rona-rona bagai sang dunia Kerana jalanmu tidak pun wujud Makin kejar makin menjauh Kadang jatuh kadang tersungkur Hingga lara
Hidup ini medan kau beradu Entah untung entah rugi Pujuk nafsu selalu menipu Kadang hati kadang tak pasti Gagah mentafsir makna Itu ujian ataupun musibah
Keputusan peperiksaan semester 1 sesi 09/10 telahpun dikeluarkan. Dalam tempoh terdekat ini semua mahasiswa UIAM akan menyambung pengajian bagi semester ke 2. Keputusan sem 1 sesi ini bukanlah yang terbaik untuk saya. Malah boleh saya katakan paling teruk dan saya mengalami penurunan pada CGPA.
Nah, apakah puncanya? Saya mula mengambil masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Kesilapan yang lepas tidak boleh diulangi. Momentumyang baru harus dipacu dengan lebih sempurna agar menghasilkan tujahan lebih jauh. Mungkin kegagalan saya dalam pengurusan masa yang mengundang kepada markah yang corot. Ya, mana mungkin orang seperti saya yang tidak mempunyai daya fokus yang tinggi untuk meraih keputusan yang cemerlang dalam kesibukan dengan bebanan 21 kredit pada semester lepas. Ditambah pula dengan kesibukan aktiviti persatuan. Tapi itu semua hanyalah alasan…
Tatkala bermuhasabah, teringat akan nasihat abang. Abang seorang mahasiswa yang cukup cemerlang. Dari konteks akademik, beliau tidak pernah memperoleh keputusan dibawah 3.7. Juga tersenarai dalam senarai dekan di Universiti Malaya. Pada masa yang sama bergiat aktif di dalam persatuan juga kerja-kerja dakwah. Dan kini baru sahaja mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin dan menyambung pengajian didalam PhD.
Nasihatnya cukup ringkas. Ia berkenaan dengan usaha kita. Tatkala kita disibukkan dengan sesuatu perkara, dan perkara itu mendesak kita untuk membahagi-bahagikan komitmen maka janganlah dibahagi-bahagikan komitmen yang sedia ada. Tetapi gandakan usaha. Justeru, di sini kita memerlukan pengorbanan dari konteks masa rehat, masa bermain, masa berhibur dan sebagainya. Ingat bila mana kita membahagikan komitmen, berkemungkinan urusan kita ibarat siap separuh jalan. Hasilnya juga hanyalah ala kadar kerana tiada kesungguhan dan fokus di situ. Maka gandakanlah usaha.
Analogi yang termudah adalah lebih baik jika kita mempunyai dua keping roti untuk dikongsi dua orang berbanding jika kita mempunyai sekeping roti untuk dikongsi sejumlah orang yang sama. Betul nasihat abang. Ia sedikit sebanyak membuka minda saya. Saya terus berfikir. Mungkin seharusnya saya gandakan usaha sejak dahulu lagi. Maka momentum ini terus ditujah untuk yang mendatang. Malah momentunya perlu digandakan bagi meraih impak tujahan yang lebih besar…