Keputusan peperiksaan semester 1 sesi 09/10 telahpun dikeluarkan. Dalam tempoh terdekat ini semua mahasiswa UIAM akan menyambung pengajian bagi semester ke 2. Keputusan sem 1 sesi ini bukanlah yang terbaik untuk saya. Malah boleh saya katakan paling teruk dan saya mengalami penurunan pada CGPA.
Nah, apakah puncanya? Saya mula mengambil masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Kesilapan yang lepas tidak boleh diulangi. Momentumyang baru harus dipacu dengan lebih sempurna agar menghasilkan tujahan lebih jauh. Mungkin kegagalan saya dalam pengurusan masa yang mengundang kepada markah yang corot. Ya, mana mungkin orang seperti saya yang tidak mempunyai daya fokus yang tinggi untuk meraih keputusan yang cemerlang dalam kesibukan dengan bebanan 21 kredit pada semester lepas. Ditambah pula dengan kesibukan aktiviti persatuan. Tapi itu semua hanyalah alasan…
Tatkala bermuhasabah, teringat akan nasihat abang. Abang seorang mahasiswa yang cukup cemerlang. Dari konteks akademik, beliau tidak pernah memperoleh keputusan dibawah 3.7. Juga tersenarai dalam senarai dekan di Universiti Malaya. Pada masa yang sama bergiat aktif di dalam persatuan juga kerja-kerja dakwah. Dan kini baru sahaja mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin dan menyambung pengajian didalam PhD.
Nasihatnya cukup ringkas. Ia berkenaan dengan usaha kita. Tatkala kita disibukkan dengan sesuatu perkara, dan perkara itu mendesak kita untuk membahagi-bahagikan komitmen maka janganlah dibahagi-bahagikan komitmen yang sedia ada. Tetapi gandakan usaha. Justeru, di sini kita memerlukan pengorbanan dari konteks masa rehat, masa bermain, masa berhibur dan sebagainya. Ingat bila mana kita membahagikan komitmen, berkemungkinan urusan kita ibarat siap separuh jalan. Hasilnya juga hanyalah ala kadar kerana tiada kesungguhan dan fokus di situ. Maka gandakanlah usaha.
Analogi yang termudah adalah lebih baik jika kita mempunyai dua keping roti untuk dikongsi dua orang berbanding jika kita mempunyai sekeping roti untuk dikongsi sejumlah orang yang sama. Betul nasihat abang. Ia sedikit sebanyak membuka minda saya. Saya terus berfikir. Mungkin seharusnya saya gandakan usaha sejak dahulu lagi. Maka momentum ini terus ditujah untuk yang mendatang. Malah momentunya perlu digandakan bagi meraih impak tujahan yang lebih besar…
Sukar untuk digambarkan perasaan ini apabila diwar-warkan tentang bencana yang berlaku di Padang Indonesia baru-baru ini. Gempa bumi dengan gegaran 7.6 skala ritcher sememangnya telah memusnahkan segala-galanya. Kesannya banyak jiwa yang terkorban dan tidak kurang juga yang mengalami kecederaan parah. Nah, fenomena yang terjadi ini benar-benar membuka mata semua lapisan masyarakat. Sememangnya kuasa Allah maha hebat dan Dia berhak untuk menguji hamba-hambaNya. Lantas, diturunkan persaan kasih dan sayang kepada insan-insan yang peka seterusnya sedikit sebanyak menghulurkan bantuan meringankan beban. Mereka suka dan rela dalam melakukan tugas-tugas kemanusiaan ini. Mereka mengorbankan masa bagi membantu jiwa-jiwa yang lara. Malah mereka sangat berhasrat jika insan-insan yang diuji ini mampu meneruskan survival kehidupan ini. Alangkah indahnya jika jiwa-jiwa ini mampu dirantaikan dengan kebesaran Si Pencipta.
Tugas-tugas kemanusiaan. Dimanakah peranan saya? Adakah saya suka dan rela dalam melakukannya? inilah perkara yang seringkali saya timbang-timbangkan. Mungkin seringan-ringan bantuan boleh dilakukan. Terdetik persoalan yang sama yang sememangnya sukar untuk dijawab. Satu pengalaman yang mampu dikongsi. Ceritanya ringkas, iaitu berkenaan pengalaman mengutip derma untuk sumbangan mangsa gempa bumi di Padang. Kutipan dilakukan di sekitar konsert nasyid yang diadakan semasa Pesta Konvo di UIA baru-baru ini. Kami menerima sebuah tabung dari Global Peace Malaysia. Kami hanya diarahkan untuk meninggalkan tabung tersebut di gerai makan yang kami uasahakan. Namun dari hasil pemerhatian saya, insan-insan yang lalu-lalang di kawasan sekitar amatlah kurang peka. Tidak nampak? tidak ada duit? ataupun tiada belas kasihan untuk membantu?
Maka terdetiklah di kotak fikiran ini, 'tabung harus digerakkan'. Kebetulan Abang Syah berada di gerai. Abang Syah merupakan seorang senior yang amat gemar dalam melakukan kerja-kerja kemanusiaan seperti ini. Namun, pada malam itu pakaianya kurang sesuai. Ya, apakah yang akan dikatakan orang jika mereka yang melakukan kerja sukarela memakai t-shirt kuning dan dipadankan dengan seluar jeans. Dengan nada bergurau, saya usulkan cadangan tersebut. Tidak sangka beliau bersetuju. Pada saat itu juga kami terus menggerakkan tabung. Hakikatnya saya malu. Namun melihat akan riak wajah abang Syah yang bersahaja, saya teruskan juga hasrat itu.
Pelbagai respon yang diterima semasa kutipan ini dijalankan. Pertama, menghulurkan sumbangan dengan seikhlas mungkin. Mereka terus masukkan wang sumbangan ke dalam tabung. Nilai yang dimasukkan bergantung kepada jumlah yang ada. Kedua, menghulurkan sumbangan kerana mengenali kami. Ramai dari kalangan kenalan. Tidak pasti, jika orang lain yang meminta sumbangan adakah mereka akan menyumbang. Ketiga, menghulurkan sumbangan setelah meyakini. Mereka bertanya dahulu, "adakah sumbangan ini akan sampai kepada mangsa?". Kami hanya menjawab ya kerana kami akan menghantar wakil ke sana. Baru mereka menyumbang. Keempat, menghulurkan sumbangan kerana malu kepada kami. Pada awalnya mereka tidak ingin menyumbang. Namun, setelah berdiri dihadapan mereka beberapa ketika, barulah mereka hulurkan bantuan. Kelima, langsung tidak mahu menghulurkan sumbangan. Mungkin mereka fikir jika ada wakil dari kawan-kawan dalam kelompok mereka menyumbang itu sudah cukup.
Dalam konteks diri sendiri, saya berasa agak kekok dan malu. Tidak mampu berkata apa-apa dan hanya mampu tersenyum di sebelah Abang Syah sahaja. Malah, hati ini meronta-ronta agar tugas ini dihabiskan secepat mungkin. Maklumlah, amat janggal dan jarang bagi saya dalam melakukan kerja ini. Alhamdulillah kami berjaya meminta sumbangan hampir semua kelompok kumpulan yang berada di sekitar pentas. Sememangnya tiada masalah dalam melakukan kerja kemanusiaan. Cuma kotak fikiran yang negatif sahaja menghalang kita melakukan tugas ini. Seharusnya ringankan mulut untuk mengajak orang menghulurkan sumbangan. InsyaAllah akan ada yang menyumbang. Banyak atau sedikit adalah perkara ke dua. Pedulikan jika kita dihalau, dimaki mahupun dipuji, yang penting adalah niat membantu harus diteruskan. Sekurang-kurangnya kita sudah melakukan satu tugas yang baik. Mungkin ini sahajalah sumbangan yang mampu kita berikan. Hakikatnya lakukanlan dengan hati yang suka dan rela. Tidak perlulah kita mengharapkan balasan dan cukuplah sekadar dipermudahkan urusan jika kita pula diuji satu hari nanti. Ringkasnya, hiduplah dengan menabur jasa.
Seorang sahabat menghantar pesanan ringkas kepada saya. Pesanan tersebut berbunyi '...tolong promote buku PKPIM 5 DASAWARSA dalam blog...'. Saya tersenyum. Seharusnya buku seperti ini menjadi pilihan utama bagi pembaca-pembaca yang ingin mendalami dan mengenali sebuah pergerakan Islam yang terawal di Malaysia yang dikenali sebagai PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM). Secara ringkas, PKPIM merupakan sebuah sebuah pergerakan dakwah yang dinaungi oleh mahasiswa dan pelajar. Isu yang diperjuangkan bersifat dakwah dan kebangsaan. Dan apa yang menarik, buku ini mengupas secara ringkas perjuangan PKPIM dalam tempoh 50 tahun penubuhannya. Perkongsian pengalaman perjuangan dakwah ini sememangnya sedikit sebanyak mampu membuka mata pembaca dan memberi kesedaran akan kepentingan menyambung tugas dakwah. Jadi saya mencadangkan buku ini kepada anda untuk bersama-sama kita menyingkap susah senang perjuangan persatuan ini. Moga-moga ia sedikit sebanyak mampu menyemarakkan rasa cinta dan sayang akan agama dan bangsa kita. Wallahua'lam...
::Sebarang tempahan boleh hubungi Saudari Lina Mursyida pada talian 0136282505. Dapatkan buku ini dengan harga RM22.90.::
Semalam adalah Hari Ibu. Hakikatnya ramai antara kita yang mengambil kesempatan ini untuk meraikan jasa besar ibu masing-masing. Pada saya ia tidak ubah seperti hari-hari biasa. Tiada yang penting untuk saya lafazkan kepada orang yang pernah melahirkan saya. Tarikh 9 Mei bukanlah satu tarikh keramat di mata saya. Mungkin kerana sejarah didikan sejak dari kecil saya tidak diajar untuk melihat kepentingantarikh-tarikh ini.
Teringat akan seorang senior yang cukup rapat dengan saya. Dia mengingatkan saya untuk mengambil peluang ini untuk melahirkan rasa penghargaan atas sumbangan besar seorang ibu. Namun saya pandang hal ini sambil lewa. Saya akui, hakikatnya memang tiada sebarang konflik antara saya dan emak (panggilan kepada ibu saya). Malah saya yakin, hubungan saya dengan mak adalah lebih rapat dari hubung an saya dengan abah. Bahkan saya banyak berkongsi masalah dengan beliau. Namun, saya masih kurang pasti mengapa hati begitu berat untuk melafazkan kata-kata ‘Selamat Hari Ibu…’.
Namun Allah Maha adil. Dia telah datangkan saya dengan sebuah mimpi. Mimpi yang cukup memberi kesan kepada saya… Tatkala menuntut ilmu di perantauan, saya berjauhan dengan emak. Hidup di sebuah universiti mendorong saya untuk berdikari. Untuk meneruskan survival kehidupan, saya mula menyibukkan diri dengan kerja-kerja akademik dan persatuan. Seperti biasa, hal ini menyebabkan saya lupa untuk mengambil tahu kondusi emak di kampung. Jarang sekali saya menghubungi beliau dan saya mula leka.
Emak cuba mencari jalan untuk mengisi kesunyian. Beliau mula fokus dengan kerjayanya sebagai seorang guru. Saat itu saya sedar bahawa keadaan kesihatan mak bukanlah dalam kondusi yang baik. Namun bagi saya, masih lagi ada tugas di universiti yang harus diselasaikan. Pada saat itu, Allah mula menguji saya. Saya didatangkan oleh seorang senior sekuliah. Senior tersebut memberi saya satu tawaran untuk mewakili kuliah ke sebuah konvensyen di Sarawak. Saya melihat ini merupakan satu peluang yang cukup hebat.
Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Pada hari ini saya akan bertolak ke Sarawak dengan menaiki kapal terbang. Saya berasa sedikit berdebar-debar memandangkan ini merupakan kali pertama saya menggunakan perkhidmatan kenderaan ini. Setibanya di lapangan terbang,saya menjadi begitu kekok. Saya mula buntu dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Dipendekkan cerita, pada masa yang sama mak juga berada di lapangan terbang tersebut. Ketika itu beliau perlu mengiringi pergerakan pelajar-pelajar yang mengadakan rombongan sambil belajar.
Melihat sosok tubuh emak, saya yakin kesihatan emak semakin terganggu. Namun, siapa dapat menghalang hati seorang ibu. Beliau terus meluru ke arah saya untuk melepaskan rindu sekian lama. Namun saya telah lewat. Saya cuma ada 45 minit sahaja sebelum pesawat berlepas. Tambahan pula saya mengalami masalah untuk ke balai berlepas. Bagasi yang di bawa lebih muatan. Saat itu emak membantu menyelesaikan masalah ini. Setelah itu, saya segera bergerak ke balai berlepas. Masa sangat suntuk. Emak masih mengharapkan saya memberi ruang masa untuk berbual-bual dengannya.
Saya terus meninggalkan emak. Dengan terburu-buru saya berlari-lari anak ke balai berlepas. Pada masa yang sama emak cuba mendapatkan saya. Sejurus saya dimaklumkan melalui pembesar suara bahawa pesawat yang akan saya naiki telah berlepas. Langkah saya terhenti. Sedikit kekecewaan. Peluang yang saya nanti-nantikan selama ini terlepas begitu sahaja. Tatkala diselubungi kekecewaan, saya teringat akan emak. Timbul persoalan di kotak pimikiran saya. Dimanakah emak yang mengejar saya sebentar tadi? Saya menoleh ke belakang. Saya melihat dengan jelas satu jasad yang terdampar di tengah-tengah laluan itu. Saya cukup kenal akan jasad itu. Jasad seorang tua yang inginkan kasih saying seorang anak. Jasad seorang yang cukup rapat dengan diri saya. Itulah emak.
Tersentak dengan situasi itu,saya segera meluru ke arah emak. Saat itu segala permasalahan saya lupakan sebentar. Hanya emak yang ada dalam kotak fikiran ini. Saya segera memeluk emak. Keadaanya lemah longlai. Terasa badannya kurus menahan derita sakit. Dan sehingga kini saya sebagai anaknya tidak tahu apakah penyakit yang dialaminya. Saya memeluk erat mengharapkan emak bertahan. Fikiran saya buntu. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya terus meraung “emak jangan tinggalkan Im…Im sayang emak…maafkan Im…”.
Segala-galanya sudah terlambat. Pada saat akhir itu barulah saya dapat merasakan kebahagiaan memeluk tubuh seorang ibu. Tatkala jalinan darah ini terasa begitu rapat apabila saya menciumnya. Saat itu juga saya mampu menghidu bau tubuh emak. Tubuh seorang yang pernah menyusukan saya satu ketika dahulu. Namun, semuanya telah terlambat. Semua itu adalah yang terakhir kalinya. Walau apapun yang saya lakukan, emak tetap sudah tiada di muka bumi ini. Meneruskan perjalanan menemui Ilahi. Air mata terus berjujuran. Tubuh ini menggigil mengenangkan kebodohan diri.
Itulah perasaan seorang ibu. Sentiasa mencari ruang untuk bersama anak-anaknya. Namun di manakah ruang kita sebagai seorang anak kepada ibu kita? Mungkin tiada? Sehinggakan ruang untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ diendahkan begitu sahaja. Jadi, saya mengharapkan agar semua sedar bahawa ibu kita cukup sayang akan kita. Malah mereka sentiasa ingin bersama kita. Jangan sia-siakan peluang ini selagi mereka masih ada. Tidak susah malah tidak lama untuk kita mengucapkan SAYA SAYANG IBU….
Meneliti perjalanan hidup ini, bukanlah semua perkara berada dalam keadaan yang baik. Seringkali saya berada ditempat yang bawah. Bukan mudah untuk menggarap satu kedudukan yang terbaik. penuh dengan ujian dan cabaran. Ketabahan menjadi eset utama sebagai perisai manakala kesungguhan sebagai senjata terbaik dalam perjuangan ini. Tatkala Allah menjadi tempat pergantungan dan Dia sentiasa hadir dan adil dalam memutuskan perancangan. Maka seringkali kita didepankan dengan hasil yang berjaya tak kurang juga hasil yang gagal.
Gagal dan terus gagal. tidakkah Allah menyediakan ruang kejayaan pada kita? Pasti ada. Ibarat menyelusuri sebuah terowong yang gelap dan di penghujungnya ruang keluar yang terang benderang. Maka timbullah persoalan 'dimanakah usaha kita ke arah ruang yang cerah?'. Sememang tiada kegagalan tanpa kejayaan. Sediakan ruang untuk berubah pasti kejayaan menanti. Sebuah kisah yang ingin saya kongsi, tetang satu insan yang melakukan perubahan pada diri sebaik sahaja menyedari kekurangan. Kisah seorang muazzin....
Semasa saya berumur sepuluh tahun, saya telah berpindah sekolah agama ke sebuah sekolah agama rakyat yang terletak di sebuah surau di sekitar kawasan perumahan saya. Pembinaan sekolah agama rakyat ini adalah atas usaha jemaah surau. Kedudukannya yang lebih dekat memudahkan saya untuk ke sekolah. Seingat saya, sesi persekolahan bermula pada jam 2 petang dan tamat pada jam 5.30 petang. Dengan kata lain, pelajar-pelajar sekolah ini akan menunaikan solat fardhu Asar bersama-sama jemaah surau.
Jemaah di surau ini bukanlah asing bagi saya. Ini kerana, ayah juga merupakan sebahagian darpada mereka dan saya sering menyertai ayah dalam menunaikan solat Maghrib dan Isyak di sini. Di antara jemaah surau ini ada seorang noda yang bernama Kassim. Dia berasal dari Bangladesh. Kebiasaannya dia akan mengambil tugas sebagai muazzin jika muazzin yang rasmi tiada. Secara mudahnya tugas muazzin adalah bidang terjun bagi dia.
Pada pandangan saya Kassim bukanlah orang yang selayaknya untuk menjadi seorang muazzin. Ini kerana dia mempunyai masalah untuk membunyikan istilah 'Allah'. Sebutannya seakan-akan berbunyi 'al-leh'. Keadaan ini menyebabkan dia sentiasa dijadikan bahan tawa pelajar-pelajar sekolah. Seringkali pelajar-pelajar ini mengajuk sebutan 'Allah'nya. Namun ini bukanlah masalah besar bagi Kassim. Bagi dia azan perlu terus dikumandangkan dengan hati yang ikhlas.
Namun begitu, satu peristiwa yang tak terjangka telah berlaku. Peristiwa ini telah menyebabkan Kassim mencari ruang untuk berubah. Petang itu, sebaik sahaja Kassim selesai mengumandangkan azan, seorang pakcik dengan tergesa-gesa meluru kearahnya. Dengan muka yang merah padam dan nafas yang tercungap-cungap dia terus memarahi Kassim. "Siapa yang benarkan kamu azan kat surau ni?" "Kalau sebut nama Allahpun tak betul macam mana kamu boleh panggil orang untuk sembahyang?" "Jangan lagi azan kat surau ni! Baik kamu balik kampung pergi belajar sebut Allah betul-betul!" Lantang suara pakcik tersebut. Jelas kedengaran di setiap penjuru surau. Kassim hanya tertunduk. Dia pasrah dengan ujian yang dihadapinya.
Natijahnya, semenjak kejadian tersebut, saya tidak pernah melihat sosok tubuh Kassim. Tertanya-tanya dimanakah dia menghilang. Timbul beberapa persoalan di minda, adakah Kassim lari dari bayang-bayangnya sendiri? atau adakah dia akan muncul semula sebagai satu insan yang benar-benar berubah?
Setahun kemudian Kassim kembali. Dia tampil sebagai seorang yang telah membaiki diri. Seperti biasa, dia akan melaungkan azan Asar pada setiap petang. Kali ini azan yang dilaungka adalah lebih sempurna. Sebutan Allah tidak lagi pelat. Malam azan yang dikumandangkan adalah lebih merdu bunyinya. Saya yakin, dalam tempoh setahun kehilangan Kassim, dia telah mengambil masa itu untuk membaiki diri. Ada buah mulut yang mengatakan dia telah berguru dengan seorang ustaz dari sekolah saya. Itu tidak pasti.
Namun, apa yang penting adalah kegigihan Kassim untuk berubah. Saya cukup kagum atas usaha yang telah dia lakukan. Tidak dapat saya bayangkan dalam tempoh setahun dia berhempas pulas membaiki kelemahan diri. Ketabahan dan kesungguhan yang ada dalam diri telah membawa dia ke arah kejayaan. Kassim telah berjaya menyelusur terowong gelap dan menemukan ruang yang cerah dipenghujung terowong tersebut.
Melalui kisah ini, jelas membuktikan tiada kegagalan yang menerus. Penting untuk kita melakukan anjakan perubahan. Tidak salah untuk mengambil masa dalam membentuk diri. Ini merupakan satu proses yang panjang. Hakikatnya kuasa penetu itu ada pada Allah. Pekerjaan yang ikhlas diniatkan ibadah kepadaNya akan sentiasa dijanjikan kepuasan. Ingat, ruang cemerlang sentiasa menanti di hadapan. Namun sejauh manakah kita memberi ruang ini dalam diri? Hakikatnya sudah tiba masanya untuk kita berubah. Kerana Allah menjanjikan kecelakaan bagi meraka yang menyediakan masa kini yang lebih teruk dari masa yang lepas.
"Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah tenggelam" -Imam Ibnu Wardi-
Jangan kau suka mengingati babak-babak kebodohan dan segala tindakan yang kurang wajar yang engkau lakukan di masa mudamu. Biarlah hari-hari itu berlalu dan tak perlu diingati lagi, kerana mengingatinya akan menimbulkan rasa bodoh dan kembali kepada alam kanak-kanak. Sebaliknya, hendaklah kamu merancang untuk masa depan yang lebih cemerlang dan teratur.