Monday, February 20, 2012

Komik Dakwah

Alhamdulillah...

Baru-baru ini kelapangan masa telah saya manfaatkan dengan melukis komik dakwah. Oleh kerana sudah lama tidak membuat latihan lakaran, terasa kekok untuk melukis. Ya, sememangnya untuk menghasilkan komik memerlukan masa yang panjang. Saya sendiri telah memperuntukkan selama empat jam 30 minit untuk menyiapkan komik satu muka surat. Sejam yang pertama diperuntukkan untuk melakar. Sejam tiga puluh minit yang kedua pula untuk melukis dengan dakwat kekal. Dan dua jam yang terakhir diperuntukkan untuk mengemaskini lukisan, memasukkan teks dan membuat bayang-bayang agar karekter lebih hidup. Fasa yang terakhir ini menggunakan perisian 'Adobe Photoshop'. Hasilnya anda boleh baca di penghujung artikel ini. Moga-moga ini menjadi momentum kepada saya untuk meneruskan penghasilan komik-komik dakwah yang mampu mendatangkan manfaat kepada masyarakat umum.



Thursday, February 2, 2012

Budaya Ilmu yang Hambar

Kekuatan sesebuah bangsa terletak kepada kekuatan ilmunya. Ilmu menjadi sumber ataupun asas pembangunan bangsa tersebut. Ini mampu dilihat melalui kemajuan tamadun silam seperti Yunani, China, mahupun Islam. Malah sumbangan keilmuan bangsa-bangsa tersebut masih dilihat sehingga hari ini. Ilmu yang benar menjamin kepada amalan yang baik. Justeru ilmu dilihat sebagai sumber yang mendatangkan implikasi positif dalam kehidupan baik bersifat jasmani mahupun rohani.

Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas mendefinisikan ilmu adalah sumber yang datangnya dari Allah. Dengan kata lain, ilmu adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Makna pula merujuk kepada pengenalan kepada kedudukan sesuatu dalam sistem yang berlaku apabila hubungan sesuatu itu dengan perkara lain dalam sistem difahami dengan jelas. Malah harus difahami bahawa ilmu seharusnya dihidupkan dengan kebenaran. Sesuatu tindakan mahupun kerja yang berasaskan nilai-nilai yang baik boleh disifatkan sebagai ilmu yang benar.

Masyarakat yang maju sememangnya datang dari kelompok yang mengangkat ilmu. Hari ini, keghairahan masyarakat barat dalam mendalami ilmu jelas dilihat dan telah membawa masyarakat tersebut jauh ke hadapan. Situasi ini juga jelas ditonjolkan oleh bangsa Jepun yang bangkit mengangkat tradisi keilmuan selepas tewas semasa Perang Dunia ke Dua. Hari ini bangsa-bangsa tersebut menjadi kuasa besar di dunia malah menguasai bidang perniagaan mahupun penguasaan sains dan teknologi.

Lantas, kita mampu menilai tahap masyarakat kita, masyarakat Malaysia secara umumnya, bangsa Melayu Islam secara khususnya. Nah, pernahkah kita terfikir dimanakah silapnya kemunduran masyarakat kita hari ini? Hakikatnya jawapan bagi persoalan ini amat ringkas. Kemunduran masyarakat Malaysia berpunca daripada kegagalan mereka mencintai ilmu. Malah pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat dilihat cukup hambar samada dari generasi muda mahupun generasi tua.

Beberapa isu mampu diketengahkan sebagai gambaran rendahnya penghargaan ke atas ilmu di kalangan masyarakat Malaysia. Pertama isu penjualan baucer RM200 pemberian percuma kerajaan untuk pembelian buku akademik mahasiswa. Ke dua isu berkenaan pemberian alaun kepada pelajar yang belajar mata pelajaran sains di sekolah. Nah, persoalan yang lebih membingungkan adalah mengapakah kerendahan ilmu ini diperlakukan oleh golongan yang terpelajar?

Mahasiswa merupakan golongan pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang yang tertentu. Mahasiswa seharusnya menjadi lambang ketinggian ilmu di kalangan masyarakat. Tindakan segelintir mahasiswa menjual baucer buku 1 Malaysia (BB1M) mencerminkan kurang matangnya cara berfikir atas kegagalan mengambil ruang meraih ilmu sebaik mungkin. Alasan telah memiliki semua buku akademik dan bakal menamatkan pengajian bukanlah tiket untuk menjual baucer tersebut. Jika mahasiswa mengangkat nilai keilmuan, seharusnya bacer dimanfaatkan dengan menambah koleksi buku untuk pembacaan malah mampu dimanfaatkan semasa alam perkerjaan kelak.

Statistik menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang berminat mengambil jurusan sains semakin menurun. Namun tidakan memberi alaun dalam meraih minat pelajar mengambil bidang tersebut bukanlah satu keputusan yang tepat. Apakah dengan wang ringgit mampu melahirkan kecintaan pelajar kepada ilmu yang dituntut? Atau apakah wang ringgit digunakan sebagai alat untuk memancing golongan pelajar agar berbondong-bondong meningkatkan statistik peratusan pelajar yang mengambil jurusan sains? Hal ini menjelaskan kondusi kematian minat pelajar dalam meneroka ilmu terutamnya dalam bidang sains. Seharusnya minat dan rasa cinta ke atas ilmu itu di tanam sejak kecil agar kesungguhan mereka menuntut ilmu mampu diperlihat.

Adapun budaya ilmu di kalangan masyarakat Malaysia semakin hambar. Ilmu tidak lebih dilihat sebagai alat untuk mencapai kemewahan hidup. Malah, sehingga kini, masyarakat masih terperangkat di dalam sistem keilmuan yang dibina, lalu gagal memahami apa fungsi sebenar ilmu. Justeru minat dan cinta kepada ilmu harus dipupuk kepada segenap generasi. Malah setiap individu harus jelas bahawa ilmu itu bukanlah sesuatu yang hanya diperolehi di pusat pendidikan sahaja dan diguna pakai untuk memperoleh perkerjaan. Persepsi yang salah seperti ini hanya lahir dari mentaliti masyarakat jahil yang mundur dan tertindas.